Bekas pesilat negara nafi jual barang kesayangan demi teruskan hidup

Bekas pesilat wanita negara era 1990-an, Aslinda Ahmad menafikan beliau menjual beberapa barangan kesayangannya bagi meneruskan kelangsungan hidup seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan semalam.

Bekas atlet berusia 47 tahun itu terkejut dan terkilan dengan laporan akhbar itu yang tidak menghubunginya bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara berkenaan.

“Saya tak suka menggunakan kesusahan saya untuk meminta badan-badan (kebajikan) lain memberi bantuan kepada saya.

“Banyak organisasi yang sudah membantu saya seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Majlis Sukan Negara, selain saya turut mendapat bantuan zakat (daripada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan),” katanya pada sidang media semalam.



Aslinda menjelaskan laporan akhbar itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada keluarganya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pesaka, Megat Zulkarnain Omardin yang turut hadir pada sidang media itu kesal dengan laporan tidak tepat akhbar berkenaan yang memberi kesan kepada keluarga Aslinda.

Beliau berkata, Pesaka turut mempunyai ahli gabungan yang dibarisi bekas pesilat kebangsaan yang sentiasa memberikan bantuan kepada mana-mana bekas pesilat yang berdepan kesusahan hidup.

”Apabila laporan ini tersebar, tidak adil bagi saya sebagaimana Aslinda katakan bahawa keaiban keluarganya dipaparkan ke seluruh negara.



“Sepatutnya wartawan berkenaan bertanya dahulu kepada Aslinda kerana ada benda boleh diceritakan, ada yang tidak boleh diceritakan.”

Laporan akhbar itu mendakwa Aslinda menjual 3 barangan kesayangannya demi meneruskan kelangsungan hidup, iaitu pingat emas Kejohanan Silat Dunia 1994 di Hatyai, Thailand, pingat gangsa Sukan SEA 1995 di Chiang Mai, Thailand, selain sehelai baju silat Malaysia yang dikatakan dijual kepada sebuah kedai barangan terpakai di ibu negara dengan harga serendah RM100 lebih. Bernama

Pesilat terdesak jual pingat emas RM100



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker