Rezeki Zaidah bukan lagi dari timbunan sampah selepas dibantu penderma misteri
SHAH ALAM: Zaidah (bukan nama sebenar) tidak lagi perlu mengais timbunan sampah mencari barang boleh kitar semula untuk dijual bagi mencukupkan keperluan, apabila dermawan membantu menjadikan impiannya kenyataan.
Apa yang diimpikan warga emas ini gerai menjual aiskrim di depan rumah. Kecekalannya berdikari pada usia 64 tahun itu mendapat perhatian penderma misteri.
“Makcik tidak tahu siapa yang memberi bantuan, makcik tidak kenal orangnya. Makcik tidak tahu rupanya,” katanya bawah teduhan khemah gerai baharunya di Kampung Melayu Subang.
“Makcik doakan dia murah rezeki, panjang umur dan sihat tubuh badannya.”
FMT minggu lalu menonjolkan kisah Zaidah meneruskan hidup dengan mencari, mengutip, dan menjual barang boleh kitar semula. Ibu kepada 4 anak itu tiada pekerjaan tetap sejak diberhentikan kerja sebagai tukang bersih 15 tahun lalu, tetapi tidak mahu terlalu bergantung pada anak-anaknya.
Menurut Zaidah, tidak lama selepas kisahnya disiarkan, sebuah kereta singgah ke rumahnya dan si pemandu memaklumkan bahawa dia diminta menyerahkan khemah, kerusi dan meja, sedikit wang, pelbagai jenis keropok, dan alat menghasilkan aiskrim.
Katanya, pemandu itu enggan beritahu siapa orang yang bermurah hati ini, kerana dia hanya diminta menyerahkan barang-barang itu kepadanya.
Kini, gerai Zaidah yang menjual jajan dan aiskrim buatan sendiri dalam aneka perisa menjadi tumpuan kanak-kanak setempat di situ.
You must be logged in to post a comment.