COVID-19 di Semenanjung lebih sukar dikawal berbanding Sabah – KKM

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengakui lebih sukar mengawal penularan jangkitan COVID-19 di Semenanjung berbanding Sabah.

Beliau berkata faktor seperti kepadatan mobiliti tinggi menjadikan usaha untuk mengawal wabak berkenaan lebih sukar.

Berikutan itu, beliau berkata keputusan drastik perlu diambil antaranya dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tertentu sebelum ia bertukar menjadi zon merah.

“Adakah di Semenanjung kita ada kawalan sempadan rentas negeri atau daerah? Semenanjung mempunyai kepadatan dan mobiliti sangat tinggi. Ini adalah cabaran yang kita hadapi.



“Bagi pihak kita pula perlu ambil tindakan pantas antaranya mencegah dengan menumpu atau menyasarkan satu kampung dan mukim lebih mudah.

“Sekarang kita lihat kes di Semenanjung tersebar begitu luas. Sebab itu, kita laksanakan PKPB di Selangor meskipun dapat banyak bantahan tetapi kita ambil juga langkah proaktif,” katanya pada sidang media harian, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata langkah proaktif seperti di Selangor melalui pelaksanaan PKPB untuk tempoh dua minggu menampakkan hasil dalam usaha membendung jangkitan, sekali gus dapat mengekal serta melindungi kawasan atau negeri zon hijau.

Beliau berkata pelaksanaan PKPB juga perlu mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi termasuk mengehadkan sektor sosial.



“Kita sedar tak boleh laksanakan PKP lagi. Sebabnya kena imbang ekonomi dan kesihatan. Melalui PKPB, kita kena juga membenarkan sektor ekonomi dan hadkan sektor sosial untuk elak perhimpunan awam dan sebagainya.

“Sektor sosial pendidikan dan sukan juga dihadkan untuk bendung jangkitan dan bukan hentikan supaya wabak ini boleh dikawal,” katanya. BH

PKPB di Semenanjung? Ini SOP yang perlu anda tahu



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker