PKPB : Polis Kelantan arah 21 kenderaan patah balik

KOTA BHARU – Sebanyak 21 kenderaan yang mencuba nasib memasuki Kelantan tanpa memiliki surat kebenaran diarah berpatah balik oleh polis sehingga malam semalam.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, kesemua kenderaan berkenaan yang membabitkan 32 individu diarah berbuat demikian ketika melalui empat sekatan jalan raya di Pasir Puteh (dua), Jeli dan Gua Musang.

Menurutnya, selain tidak memiliki surat kebenaran, alasan yang kukuh, ada di antara mereka yang memberikan alasan sengaja mahu bersiar-siar dan juga ingin balik kampung menziarahi ibu bapa.

“Bagaimanapun tindakan tegas polis telah mengarahkan mereka berkenaan untuk berpatah balik supaya tidak membawa risiko kepada penduduk di Kelantan dalam keseriusan PDRM membantu kerajaan mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Shafien berkata, lebih 2,000 kenderaan cuba memasuki Kelantan sejak malam kelmarin menerusi empat sekatan jalan raya yang dibuat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Menurutnya, sekatan jalan raya sepanjang 24 jam setiap hari bermula tengah malam kelmarin itu turut melibatkan Jabatan Kesihatan Kelantan untuk ujian swab bagi mereka yang datang dari zon merah.

Dalam pada itu, beliau terus mengingatkan orang ramai yang tidak mempunyai alasan kukuh dan tiada surat kebenaran sah supaya tidak sesekali mencuba memasuki Kelantan.

“Saya percaya masyarakat di luar sana dapat sama-sama membantu kerajaan bagi putuskan rantaian penularan Covid-19 dengan mematuhi arahan yang diumumkan.

“Sekali lagi saya ingatkan jangan sesekali menggunakan alasan yang palsu untuk masuk ke Kelantan kerana ia boleh mengundang padah kepada banyak pihak termasuk keluarga sendiri,” katanya. Sinar

Masuk Kelantan : Bawa surat polis atau patah balik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker