Dua beradik hilang di Keningau mungkin hanyut lebih jauh, kata bomba · MYKMU.NET

Dua beradik hilang di Keningau mungkin hanyut lebih jauh, kata bomba

Share

Bomba tidak menolak kemungkinan 2 beradik yang hilang di Sungai Liawan, Keningau, dibawa arus ke lokasi lebih jauh.

Dalam kejadian di Kampung Dangulad kira-kira 1 pagi itu, kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dan adik perempuannya berusia 4 tahun hilang selepas kenderaan dinaiki bersama bapa mereka dihanyutkan arus deras ketika melintasi jambatan.

Bapa mangsa terselamat dalam kejadian itu namun 2 beradik terbabit didapati hilang walaupun kenderaan itu ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau Mudi Pengiran berkata, keadaan mungkin bertambah buruk jika hujan lebat malam ini dan tidak mustahil 2 mangsa terbabit dihanyutkan hingga ke daerah Tenom yang terletak kira-kira 43km dari Keningau.

“Bagaimanapun, kita akan berbincang dengan agensi berkaitan untuk memperluaskan skop pencarian.

“Hari ini operasi mencari dan menyelamat mangsa diperluaskan kepada 2km persegi dari tempat kejadian berbanding hanya 500m persegi pada operasi selepas kami menerima laporan kejadian itu tengah malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mudi berkata, kejadian kenderaan dihanyutkan arus deras di jambatan merentasi Sungai Liawan itu kali ke-3 berlaku setakat ini.

“Kejadian pertama pada 2018, mangsa kita jumpa, namun yang ke-2 pada 2019 kita hanya menemui kenderaan dan mayat tidak dijumpai sehingga kini manakala kejadian ke-3 adalah operasi yang kita jalankan hari ini,” katanya.

Operasi bermula 8 pagi itu ditamatkan pada 5 petang tadi membabitkan 36 anggota pelbagai agensi. FMT

13 anjing, sampah ‘peneman’ tiga beradik daif

Leave a Reply