4 LRA kembali beroperasi, pengguna dijangka terima air 3 petang

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan bahawa loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada pukul 2.40 pagi secara berperingkat setelah bacaan 0 TON (tahap bau) tiga kali berturut-turut direkodkan.

“Sehingga jam 7.00 pagi ini, keempat-empat LRA telah selesai melaksanakan aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan adalah bersih dan selamat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Air Selangor telah melakukan pengesahan kualiti air di setiap bahagian dalam proses rawatan air serta kolam-kolam imbangan dan telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada para pengguna. Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan,” kata Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Elina Baseri dalam satu kenyattan pagi ini.

Tambahnya, bekalan air dijangka akan mula diterima oleh pengguna pada jam 3.00 petang ini secara berperingkat-peringkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air.

Sementara itu, katanya, bantuan bekalan air alternatif yang telah dilaksanakan oleh Air Selangor akan diteruskan bagi membantu para pengguna yang terjejas termasuk menggerakkan sebanyak 111 lori tangki, menyediakan 14 pili awam dan membuka 17 Pusat Khidmat

Setempat, serta mengagihkan air minum 5 liter.

Semalam lebih daripada 1.1 juta isi rumah di Kuala Lumpur dan Selangor terjejas oleh gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran di empat loji berkenaan.

Ia melibatkan Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dalam satu kenyataan di media sosial mengatakan agensi penguat kuasa sudah menemui sebuah premis yang disyaki melakukan pembuangan efluen secara tidak sah ke lubang kumbahan (manhole) yang seterusnya mencemari Loji Rawatan Kumbahan IWK Taman Velox, di Rawang.

Span berkata ia adalah susulan operasi bersepadu melibatkan polis Gombak, LUAS, JAS, SPAN, MPS, PDT Gombak dan Pengurusan Air Selangor, semalam.

“Sisa dari premis tersebut didapati menghasilkan bau yang sama dikesan di LRK dan LRA.

“Premis tersebut telah disita oleh pihak Majlis Perbandaran Selayang,” kata Span.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker