Membantu sesama insan · MYKMU.NET

Membantu sesama insan

Share

SETIAP manusia punya tanggungjawab untuk membantu mereka yang memerlukan.

Bagi pelakon, Datuk Adi Putra, kehadirannya dalam industri menjadi bonus buat dirinya untuk membantu masyarakat, lebih-lebih lagi dalam krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia hari ini.

Antara platform yang digunakannya adalah media sosial seperti Instagram (IG) kerana di situ, dia memiliki lebih 1.4 juta pengikut.

“Bila orang kenal saya sebagai artis dan usahawan, saya gunakan peluang ini sebaik mungkin. Contohnya, sepanjang Ramadan lalu, saya gunakan IG untuk membantu usahawan kecil bagi mempromosikan produk jualan mereka.

“Saya tahu, ramai yang terkesan, kehilangan pekerjaan dan memulakan perniagaan kecil-kecilan. Jadi, saya minta mereka berikan saya maklumat berkaitan produk jualan dan saya promosikan secara percuma sepanjang Ramadan di IG saya,” katanya.

Berbicara mengenai khidmat masyarakat, Adi juga sama seperti manusia lain yang punya rasa tanggungjawab untuk membantu sesama manusia.

“Matlamat saya ialah untuk terus membantu orang lain walaupun saya sendiri berada dalam kesusahan. Memberi lebih afdal daripada menerima. Bukan kerana saya kaya atau apa, tetapi kerana rasa tanggungjawab sesama manusia.

“Seperti semua sedia maklum, saya ada menjalankan perniagaan agensi pelancongan. Namun, apabila Covid-19 menyerang dunia, sempadan negara ditutup dan perniagaan tak dapat dijalankan seperti biasa.

“Namun, saya cuba memanfaatkan diri saya dengan membantu orang lain,” katanya.

Niatnya untuk membantu sesama manusia itu disusun dengan baik oleh Yang Esa kerana tahun lalu Adi pernah menerbitkan filem yang konsepnya untuk membantu sesama insan.

“Kebetulan tahun lalu saya ada terbitkan filem berjudul Syaaban. Niatnya untuk membantu orang lain kerana semua kutipan daripada filem itu apabila ia ditayangkan kelak, akan disalur kepada mereka yang memerlukan.

“Jadi, bila berlaku krisis Covid-19 ini, ia bersesuaian dengan niat dan matlamat saya untuk hulur bantuan,” katanya.

Berkongsi mengenai kerja seni, Adi mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana tidak mahu jadual kerjanya bertindih.

“Sekarang saya menjalani penggambaran drama berjudul Aku Yang Kau Gelar Isteri untuk tayangan di slot Samarinda TV3. Jadi, ada beberapa tawaran lain terpaksa ditolak kerana saya perlu menyusun atur jadual sebaik mungkin.

“Bukan sahaja kerja lakonan, jadual saya juga diisi dengan beberapa aktiviti lain antaranya bersama badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Selain Adi, drama sebanyak 15 episod itu menggandingkannya dengan pelakon, Nadia Brian untuk watak utama. HM

UMNO Pilihan Kami :Genius Matematik Adi Putra dan Pelakon Dato’ Adi Putra

Leave a Reply