Enggan terima kekalahan, Trump pecat Setiausaha Pertahanan AS

Share

WASHINGTON: Donald Trump semalam memecat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper, sekali gus menambah keadaan celaru dihadapi kerajaan selepas beliau enggan menerima kekalahan kepada Joe Biden pada Pilihan Raya Presiden.

Trump mengambil tindakan itu ketika hanya berbaki 10 minggu untuk beliau berada di Rumah Putih sebelum pentadbiran diambil alih oleh Biden.

Keputusan itu adalah lanjutan krisis hubungan selama empat tahun antara Trump dengan Pentagon yang telah menyaksikan pertukaran empat ketua pertahanan, setakat ini, termasuk sebahagiannya disebabkan mereka enggan memenuhi matlamat politik beliau.

Seperti penyandang sebelum ini, Esper berusaha untuk tidak berada dalam radar politik demi mengelakkan kemarahan Trump.

Namun, pergeseran akhirnya tercetus berhubung tekanan Rumah Putih supaya askar Persekutuan ditempatkan bagi menangani rusuhan awam, selain kemahuan Trump untuk membawa pulang pasukan tentera AS dari Afghanistan dengan segera ketika pihak pertahanan berpendapat keadaan masih belum selamat.

“Mark Esper telah dipecat. Saya mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau,” umum Trump melalui Twitter.

Walaupun tidak terkejut dengan perkembangan terbaru itu, Demokrat tetap mengecam Trump yang dianggap menjejaskan kestabilan peralihan kuasa.

Pemimpin Demokrat, Nancy Pelosi, menyifatkan pemecatan Esper ‘sebagai bukti niat Trump menggunakan hari-hari terakhir pentadbirannya untuk menimbulkan kekacauan dalam demokrasi AS dan serata dunia’.

“Berulang kali, tindakan melulu dan semberono Trump membahayakan keselamatan nasional kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan pemecatan Esper, Trump mengumumkan Ketua Pusat Counterterrorism Kebangsaan, Christopher Miller, sebagai pemangku Setiausaha Pertahanan. – AFP BH

Fahami Faktor Kekalahan, Bina Strategi Kemenangan

Leave a Reply