Bayaran pertama Bantuan Prihatin Rakyat ( BPR) sebelum Aidilfitri

Pembayaran pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dijangka dibuat sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican berkata, pembayaran BPR bakal dibuat secara berperingkat sebanyak dua kali.

Tambahnya, disebabkan BPR telah diluaskan maka jumlah penerima juga ditambah.

Dengan itu, permohonan baharu akan dibuka pada Januari tahun depan kepada sesiapa yang layak.



“Bagi penerima sedia ada, mereka tidak lagi perlu untuk memohon kerana kami akan menggunakan data sedia ada.

“Disebabkan BPR semakin diperluaskan berbanding Bantuan Sara Hidup (BSH) maka penerimanya juga akan bertambah.

“Dengan itu, jika anda tidak menerima BSH sebelum ini dan menerusi syarat baharu, anda mendapati anda layak, boleh membuat permohonan baharu BPR,” katanya dalam taklimat media hari ini.


Jelas Johan, Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu menyaksikan BPR yang telah ditambah baik.



Antaranya, pendapatan isi rumah kurang RM2,500 akan menerima bantuan sebanyak RM1,200 manakala isi rumah yang mempunyai anak seramai dua orang atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.

Golongan bujang yang berusia 21 tahun ke bawah juga kini layak menerima BPR berbanding syarat umur BSH sebelum ini iaitu 40 tahun ke atas.

“BPR adalah bantuan kepada golongan B40 dan golongan yang sangat memerlukan.

“Dari segi ekonomi, golongan ini akan membelanjakan sepenuhnya wang bantuan yang diterima oleh mereka.



“Ini pastinya akan memberi kesan pusingan terhadap ekonomi negara,” jelasnya.

Tambah Johan, kerajaan sedia menambah peruntukan BPR sebanyak sekiranya jumlah penerima yang menepati kriteria yang ditetapkan bertambah.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan RM6.5 bilion untuk BPR yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh 8.1 juta penerima.

“Ya. Ini bukan seperti jualan murah yang mana 50 pembeli pertama dapat dan yang datang kemudian tidak dapat.



“Bantuan ini untuk semua yang layak dan menepati syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

“Jika pemohon layak, kami akan luluskan dan bersedia untuk menambah peruntukan,” katanya lagi.

Ketika ditanya apakah kerajaan berhasrat untuk menambah baik BPR termasuk dengan menyuai padan jumlah bantuan dengan lokasi penerima seperti dicadangkan oleh sesetengah pihak memandangkan taraf hidup dan nilai gaji rakyat berbeza mengikut lokasi, Johan berkata, perkara itu rumit untuk dilaksanakan.

“Kami terbuka untuk menerima sebarang cadangan untuk penambahbaikan namun buat masa sekarang, sukar untuk melaksanakan pemberian BPR mengikut lokasi kerana prosesnya lebih rumit.



“Kadang-kala, penerima hanya berbeza satu dua rumah sahaja tetapi sudah berlainan kawasan (negeri), bagaimana kita hendak melakukan agihan dengan adil?

“Ini pastinya akan mengundang rasa tidak puas hati (jika jumlah BPR diberikan mengikut kawasan tempat tinggal penerima),” ujarnya. MG

Daftar Bantuan Prihatin Rakyat BPR sebelum hujung Januari 2021



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker