Ahli ekonomi saran rombak sistem pencen KWSP sepenuhnya

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa membuat perubahan selepas menteri kewangan menyatakan ia bukan skim yang boleh dipercayai untuk ramai pencarumnya.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dalam satu wawancara berkata, 42% pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM5,000 dalam Akaun 1 mereka, dengan 32% daripadanya mempunyai RM1,000 atau jumlah lebih rendah.

Ketika ini, 70% daripada keseluruhan caruman dimasukkan ke Akaun 1 yang tidak boleh dikeluarkan sehingga pencarum berusia 50 tahun, dan selebihnya ke Akaun 2 yang boleh digunakan untuk membantu pencarum membeli rumah pertama, perbelanjaan pendidikan dan kos perubatan.

Geoffrey Williams, profesor ekonomi di Universiti Help berkata, sistem KWSP sedia ada sudah lama menunggu perubahan, dan sekarang mungkin masanya untuk bertindak susulan kenyataan Tengku Zafrul itu.



Beliau menyarankan “rombakan sepenuhnya ke atas sistem kebajikan sosial itu” yang akan “mewujudkan sistem menyeluruh bagi perlindungan sosial mesra pasaran.”

Langkah pertama adalah menghentikan semua bentuk pengeluaran dan menjadikan KWSP sebagai skim pencen tulen, bukannya pelan simpanan untuk memastikan rakyat boleh bersara dengan simpanan yang banyak.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pencarum yang kehilangan pekerjaan boleh mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 1 KWSP selama 12 bulan berikutan tekanan ekonomi akibat pandemik, tetapi Williams tidak bersetuju dengan skim itu.

“Kita memerlukan peruntukan langsung untuk meletakkan wang di tangan rakyat sekarang, bukan meminta mereka menghabiskan simpanan sedikit yang mereka ada.”



Robert Foo, yang memiliki firma perancangan kewangan, berkata beliau sering menggesa Suruhanjaya Sekuriti melakukan perubahan supaya rakyat boleh mengalihkan caruman persaraan wajib mereka ke tabung peribadi atau yang diuruskan sendiri.

“Hakikatnya ramai yang tidak mempunyai simpanan KWSP mencukupi apabila mereka bersara. Selepas mereka bersara, KWSP mereka biasanya hanya mampu bertahan kira-kira 3 tahun.”

Beliau berkata, ada tentangan terhadap cadangan itu kerana kerajaan enggan membenarkan penyertaan pemain besar dan bimbang jumlah wang yang akan dikeluarkan dari negara ini untuk dilaburkan di luar negara.

“Saya sudah meminta Suruhanjaya Sekuriti membenarkan rakyat mengambil risiko (menguruskan tabung pencen mereka sendiri).”



Williams berkata, perubahan lanskap pekerjaan antara punca simpanan dalam KWSP rendah kerana caruman mungkin tidak dibuat secara berkala oleh mereka yang bekerja sendiri atau terlibat dalam ekonomi gig.

Katanya, gaji rendah dan pengaturan wang tunai di tangan juga memainkan peranan kerana caruman mungkin sangat kecil atau langsung tidak mencarum dalam situasi seperti ini. FMT

Wajar atau tidak pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP dibenarkan?



Related Articles

One Comment

  1. Tiada apa2 yang tidak kena dengan KWSP. Caruman wajib ini mesti dikekalkan. Kalau dibiarkan para pekerja menentukan apa yang mereka nak buat dengan gaji bulan/bonus/upah/komisen/insentif secara total, mungkin sebilangan besar mereka akan menghabiskan keseluruhanya tanpa menbuat apa2 simpanan. Bila dah tua, tak larat nak bekerja, masa itu nak menyesal pun dah takada gunanya..

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker