Peruntukan RM50j untuk kakitangan penerbangan : Jangan ada pihak ambil untung atas angin
Kerajaan Persekutuan perlu memperincikan bagaimana RM50 juta yang diperuntukkan kepada kakitangan syarikat penerbangan yang diberhentikan dapat digunakan sebaik-baiknya dalam usaha menangani segera isu pengangguran dalam kalangan pekerja sektor tersebut secara total.
Penjelasan itu perlu kerana pengumuman Menteri Kewangan berhubung peruntukan itu menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan pekerja sektor berkenaan.
Seorang juruterbang, Kapten Md Fauzi Md Tamaji yang mempersoalkan tentang peruntukan itu berkata, bagaimana kerajaan mendapat jumlah 8,000 orang itu kerana setakat ini Kementerian Pengangkutan mahu pun syarikat-syarikat penerbangan tidak mendedahkan angka sebenar pekerja yang terkesan dengan Covid-19.
Soalnya: “Benarkah 8,000 orang sahaja, bukan lebih ke?”.
Menurutnya, sama ada kerajaan sedar atau tidak, pandemik Covid-19 yang melanda satu dunia telah menyebabkan pekerja-pekerja syarikat penerbangan berdepan dengan tiga situasi.
Sama ada diberhentikan kerja atau diberi cuti tanpa gaji dan masih bekerja dengan gaji yang sangat rendah.
Jadi persoalannya, siapakah dalam kalangan 8,000 ini yang akan dibantu oleh kerajaan.
Tegasnya, berdasarkan logik, kerajaan sepatutnya membantu semua kategori pekerja syarikat penerbangan di atas.
Ini kerana, walaupun ada yang masih bekerja tetapi gaji mereka dipotong 25% menyebabkan ada yang tergolong dalam kategori B40.
“Oleh itu, kami pekerja-pekerja yang terlibat mahu kerajaan memberi justifikasi tepat berhubung bantuan ini dan sasaran pekerja,” katanya kepada MalaysiaGazette
Kapten Md Fauzi Md Tamaji. foto MalaysiaGazette
Md Fauzi berkata, apakah bentuk bantuan yang akan ditawarkan kepada pekerja-pekerja ini – adakah latihan dan kemahiran perniagaan atau untuk menjana pendapatan dengan harapan selepas ini mereka tidak ditawarkan bantuan lain.
“Bagaimana kerajaan mahu memastikan tawaran kemahiran dan latihan yang bakal diberi ini menepati kebolehan dan kehendak mereka.
“Syarikat atau perunding mana yang akan ditawarkan. Berapakah peruntukan yang bakal perunding ini ambil daripada caj latihan dan kemahiran yang bakal ditawarkan.
“Berdasarkan anggaran kasar, daripada RM50 juta ini dibahagikan kepada 8,000 orang – bermakna setiap orang berhak mendapat nilai RM6,250.
“Adakah nilai latihan dan kemahiran yang bakal ditawarkan nanti menepati nilai RM6,250 ini? Berdasarkan pengalaman lampau, kemahiran yang ditawarkan memasak dan menjual makanan. Adakah kaedah sama juga akan digunakan kali ini,” soalnya lagi.
Persoalan-persoalan penting ini perlu dijawab oleh kerajaan dengan telus kerana sudah pasti pekerja-pekerja yang menjadi mangsa keadaan Covid-19 tidak mahu dipermain-mainkan dalam keadaan getir dan mencabar ini.
Jelasnya, pandemik Covid-19 ini juga telah menyerlahkan banyak kelemahan kerajaan dan agensi-agensinya dalam menyalurkan bantuan kepada pekerja-pekerja yang diperhentikan.
Kata juruterbang ini lagi, masih ramai tidak mendapat Program Subsidi Upah, hendak mendapat insentif Program Pengekalan Pekerjaan 2.0 pun bukan mudah.
Tambahan pula, dakwa Md Fauzi, tidak mustahil akan wujud pihak yang membuat untung atas angin atau menangguk di air yang keroh daripada kesempitan hidup orang lain.
Namun, jika pendekatan itu dalam perancangan kerajaan pada ketika ini, adalah lebih baik bajet berkenaan dibayar terus kepada mereka yang hilang pendapatan.
Bukan kepada mana-mana syarikat ataupun pihak ketiga.
“Tetapi jika kaedah itu juga yang dilakukan bermakna pekerja yang diberhentikan tidak mendapat apa-apa,” ujarnya. MG