Ulangkaji PKPB: Ini apa yang boleh dan tidak boleh anda lakukan
Kerajaan hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu dari 9 Nov hingga 6 Dis.
PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Sabah pula dilanjutkan 28 hari lagi selepas tarikh ia sepatutnya tamat pada 9 Nov.
Panduan ini, disusun berdasarkan kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan juga pertanyaan yang diajukan terus kepada kementeriannya pada 12 Oktober.
Panduan ini dikemas kini pada 13 Oktober setelah prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan disampaikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diformalkan.
SOP ini dikhususkan untuk negeri-negeri di semenanjung yang berkaitan bagi membantu menjelaskan apa yang anda boleh dan tidak boleh lakukan di bawah PKPB.
Bolehkah pilihan raya ditangguhkan? Ini 8 persoalan untuk difahami
Bolehkah saya keluar rumah?
Hanya dua orang dari setiap isi rumah dibenarkan keluar daripada rumah.
Ini hanya dibolehkan untuk urusan kerja, kecemasan dan perkara penting seperti membeli barang keperluan seperti makanan dan bahan mentah.
Individu dan kanak-kanak yang berisiko tinggi tidak digalakkan pergi ke tempat awam.
Sejauh mana saya boleh bergerak?
Perjalanan rentas daerah tidak dibenarkan. Polis akan membuat sekatan jalan untuk mengawal pergerakan.
Di Selangor, misalnya, terdapat sembilan daerah – iaitu Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang. Anda harus kekal berada di daerah anda.
Bagi keadaan kecemasan seperti kematian, kebenaran boleh diminta dari pihak polis untuk perjalanan merentas daerah.
Bolehkah saya pergi bekerja? [DI KEMAS KINI]
Sebilangan besar perniagaan masih beroperasi seperti biasa. Hanya beberapa sektor akan ditutup, seperti institusi pendidikan dan pusat hiburan.
Untuk industri di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan pejabat kerajaan, pekerja pengurusan dan penyeliaan mesti bekerja dari rumah. Pengecualian diberikan kepada 10 peratus pekerja untuk berada di pejabat, itu pun selama empat jam sahaja, tiga kali seminggu.
Bolehkah saya pergi bekerja sekiranya pejabat saya di daerah lain?
Pengecualian dibuat untuk individu yang perlu melakukan perjalanan rentas daerah untuk bekerja, dengan syarat mereka menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan mereka di sekatan jalan raya.
Pekerja yang kad pekerjanya tidak mempunyai butiran digalakkan untuk mendapatkan surat untuk mengelakkan kesulitan.
Bagaimanapun, majikan digalakkan membenarkan pekerja bekerja dari rumah.
Bagaimana kalau kerja memerlukan saya memandu, seperti logistik? [DIKEMAS KINI]
Semua kenderaan membabitkan industri, perniagaan, kilang dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa termasuklah merentas negeri dan darah.
Lapangan terbang dan pelabuhan akan terus beroperasi.
Bolehkah saya mengadakan mesuarat? [DIKEMAS KINI]
Tak digalakkan. Anda dinasihatkan membuat mesyuarat dalam talian (virtual-meeting).
Macam mana pula kalau saya buat perjalanan rentas negeri atau wilayah untuk urusan kerja, contohnya dari Shah Alam ke Putrajaya atau dari Seremban ke Shah Alam? [DIKEMAS KINI]
Ini pun dikira perjalanan rentas daerah dan peraturan sama terpakai seperti di atas.
Macam mana kalau saya buat perjalanan dari negeri tak dikenakan PKPB di selatan ke negeri lain yang juga tak dikenakan PKPB di utara, tapi harus melalui KL, Selangor, atau Putrajaya yang dikenakan PKPB? [DIKEMAS KINI]
Anda dinasihatkan mendapatkan kebenaran daripada polis untuk mengelakkan kesulitan di sekatan jalan raya.
Kerajaan memaklumkan bahawa satu kaedah pendaftaran dalam talian akan diumumkan.
Bagaimana jika saya berada di negeri tak dikenakan PKPB, tapi perlu pergi ke lapangan terbang di Selangor? [DIKEMAS KINI]
Anda dinasihatkan mendapatkan kebenaran daripada polis untuk mengelakkan kesulitan di sekatan jalan raya.
Bolehkah saya gunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing [DIKEMAS KINI]
Ya, tapi cuma dua penumpang dibenarkan pada satu-satu masa.
Perkhidmatan ini hanya dibenarkan beroperasi antara jam 6am ke 12am sahaja.
Bolehkah saya naik MRT/LRT? [DIKEMAS KINI]
Perkhidmatan kereta api akan beroperasi seperti biasa.
Bolehkah saya menghantar anak-anak saya ke sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak?
Tidak. Semua sekolah, kolej, universiti, institut latihan dan pusat jagaan kanak-kanak akan ditutup.
Saya belajar di sekolah swasta dan menduduki peperiksaan Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE), apa yang perlu saya lakukan?
Perintah penutupan berkuatkuasa untuk sekolah kerajaan dan swasta. Tanya kepada pihak sekolah anda tentang bagaimana menyelesaikan isu peperiksaan anda.
Bolehkah saya makan di restoran?
Makan di kedai adalah dibenarkan, tetapi pelanggan digalakkan membungkus makanan, pesan melalui pandu lalu atau melalui penghantaran sahaja.
Kalau mahu makan di kedai, hanya dua ke empat individu dibenarkan untuk setiap meja, bergantung saiz meja.
Bilakah masa saya dibenarkan memesan makanan melalui penghantaran makanan? [DIKEMAS KINI]
Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi ke tengah malam.
Adakah sekatan masa dikenakan untuk saya melakukan perjalanan dan operasi perniagaan? [DIKEMAS KINI]
Perniagaan dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam.
Bagaimanapun, ada beberapa pengecualian, seperti berikut:
Pasar pagi: 6 pagi hingga 2 petang
Pasar borong: 4 pagi hingga 2 petang
Pasar tani: 6 pagi hingga 12 tengah hari
Pasar malam: 4 petang hingga 10 malam
Stesen minyak: 6 pagi hingga 10 malam (Stesen minyak di sepanjang lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam)
Farmasi: 8 pagi hingga 11 malam.
Klinik dan hospital: 24 jam
Bolehkah saya bersukan? [DIKEMAS KINI]
Individu boleh menyertai sukan yang tak melibatkan sentuhan fizikal.
Ini termasuklah berjalan pantas, joging, berbasikal, senamrobik individu dan aktiviti seumpamanya di tempat awam. Ia mestilah melibatkan tidak lebih daripada 10 orang.
Berenang, dan kejohanan dan sukan yang melibatkan sentuhan fizikal tidak dibenarkan.
Sukan dalam kawasan tertutup tak dibenarkan. Kemudahan sukan termasuklah kolam renang, gimnasium, dewan badminton dan padang bola sepak mesti ditutup sepanjang tempoh PKPB.
Untuk acara sukan oleh majlis sukan yang sedang berjalan, mereka boleh meneruskannya dengan menggunakan ‘pendekatan berasaskan kuarantin’.
Adakah sekatan masa dikenakan untuk saya melakukan perjalanan dan operasi perniagaan?
Ya. Perincian akan diumumkan tidak lama lagi. Perkara ini akan dikemas kini apabila maklumat diperolehi.
Bolehkah saya beriadah di taman?
Tidak. Semua taman awam dan pusat rekreasi akan ditutup.
Anda juga tidak dibenarkan keluar untuk aktiviti rekreasi seperti bersenam atau menunggang basikal.
Bagaimana jika saya enggan?
Ia melanggar Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan boleh dikenakan denda RM1,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Lebih buruk lagi, jika anda menghalang penjawat awam yang melaksanakan PKPB, anda boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Penjawat awam tidak hanya terhad kepada polis dan merangkumi penjawat awam pelbagai agensi kerajaan termasuk pegawai majlis perbandaran.
Bolehkah saya berkaraoke di pusat karaoke?
Tidak, premis hiburan tidak dibenarkan dibuka.
Saya mempunyai majlis perkahwinan untuk dihadiri, adakah ia dibenarkan?
Tidak, majlis perkahwinan tidak dibenarkan.
Bagaimana dengan tempat ibadat?
Untuk orang Islam, semua aktiviti di masjid, termasuklah solat Jumaat ditangguhkan – kecuali solat jemaah yang melibatkan jemaah maksimum enam orang sahaja.
Untuk rumah ibadat bukan Islam, hanya yang terletak di zon hijau dan mendapat kebenaran daripada MKN dan KKM sahaja boleh dibuka kepada orang awam, itu pun harus mengikut garis panduan yang ketat.
Bolehkah saya pergi melancong ke negeri di bawah PKPB? [DIKEMAS KINI]
Pelancongan tak dibenarkan di negeri-negeri ini semasa tempoh PKPB.
Bagaimana jika saya ingkar perintah PKPB?
Ia melanggar Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan boleh dikenakan denda RM1,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Lebih buruk lagi, jika anda menghalang penjawat awam yang melaksanakan PKPB, anda boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Penjawat awam tidak hanya terhad kepada polis dan merangkumi penjawat awam pelbagai agensi kerajaan termasuk pegawai majlis perbandaran.
Apa itu PKPB?
Penguatkuasaan ini serupa dengan yang dikenakan ke atas negara ini dari 4 Mei hingga 9 Jun lalu.
Untuk rekod, negara ini pertama kali melaksanakan perintah kawalan pergerakan atau disebut “PKP” pada 18 Mac, di mana kebanyakan perniagaan ditutup dan hanya seorang dari setiap isi rumah dibenarkan meninggalkan rumah untuk mendapatkan bekalan makanan.
Ketika keadaan Covid-19 bertambah baik, negara ini beralih kepada PKPB, di mana kegiatan ekonomi disambung semula dengan syarat yang ketat tetapi aktiviti riadah masih dilarang.
Sebilangan besar sekatan ditarik balik ketika negara ini mulai beralih kepada PKP Pemulihan dari 10 Jun dan fasa ini sepatutnya berlangsung sehingga akhir tahun ini.
Mengapa kita kembali kepada PKPB sekarang?
Ringkasnya, kita sekarang berada dalam keadaan yang jauh lebih buruk daripada ketika gelombang Covid-19 kedua yang dicetuskan oleh perhimpunan tabligh pada Mac lalu.
Gelombang ketiga ini bermula pada bulan September ketika pendatang tanpa izin menyebarkan virus berkenaan di Penjara Tawau dan kemudian menular di kalangan masyarakat.
Penyebaran virus itu dipercepatkan oleh pilihan raya Sabah yang berakhir pada 26 September.
Mereka yang datang berkempen dan pelawat yang mengunjungi Sabah kemudian membawa virus itu pulang ke negeri masing-masing.
Kemuncak gelombang kedua berlaku apabila 277 kes baru direkodkan pada 4 Jun dengan kebanyakannya terdiri daripada warga asing yang ditahan di pusat tahanan.
Pada gelombang ketiga ini, jumlah kes tertinggi adalah pada 6 Oktober dengan 691 kes baru, yang kebanyakannya adalah rakyat Malaysia dan kebanyakan berada dalam kelompok masyarakat.
Setiap hari, kes baru juga merekodkan angka yang tinggi.
Semasa gelombang kedua, pesakit Covid-19 yang paling banyak dirawat di negara ini adalah pada 9 April dengan 2,552 orang pesakit.
Pada gelombang ketiga, negara ini mencatat rekod tertinggi yang baru setiap hari dengan 5,039 pesakit Covid-19 dirawat pada hari ini (12 Okt). Sekiranya jumlah ini terus meningkat, hospital-hospital kita akan terbeban dan angka kematian akan meningkat secara mendadak.
Angkatan Tentera Malaysia juga sudah mengaktifkan hospital medan di Sabah, sesuatu yang biasanya dilihat pada masa perang.
Sesuatu yang wajar diambil maklum: kerajaan Selangor tidak bersetuju dengan PKPB di keseluruhan negeri dan menggesa agar beberapa daerah kuning dan hijau, seperti Kuala Selangor dan Sabak Bernam tidak dimasukkan dalam pelaksanaan PKPB.
Kajian terbaru yang diterbitkan United States National Academy of Sciences menemukan bahawa sekatan setempat lebih berkesan berbanding sekatan di keseluruhan negeri.
Maaf nak tanya , bagaimana pulak kenderaan ke kilang ? Berapa orang terhad dalam satu kereta untuk pergi ke kilang ?