Dua fakta penting berkenaan Belanjawan 2021 dalam bahasa mudah

Share

Oleh: ISHAM JALIL

1. PINJAM DUIT KWSP UNTUK TAMPUNG KEJATUHAN KUTIPAN CUKAI

Bajet 2021 kerajaan PN adalah sebanyak RM322.5 billion.

Ini adalah bajet kerajaan yang terbesar dalam sejarah selepas Bajet 2019 kerajaan PH sebanyak RM314 billion dua tahun lepas.

Namun hasil cukai dan ekonomi dijangka merosot tahun ini dan tahun hadapan.

Hasil cukai langsung dianggarkan menurun sebanyak RM20 billion daripada RM135 billion tahun lepas kepada RM115 billion tahun ini.

Oleh itu perbelanjaan yang besar ini akan ditanggung melalui dua acara: Hutang dan dividen minyak Petronas (hasil bukan cukai).

Hutang dan dividen Petronas untuk bajet tahun ini dan tahun depan juga adalah yang terbesar dalam sejarah.

Dan apa yang sama berkenaan bajet PN dan bajet PH di atas selain daripada perbelanjaan paling besar, ialah hampir separuh daripada peruntukan perbelanjaan ini adalah bukan dari hasil cukai, namun daripada pinjaman dan hasil bukan cukai iaitu sebanyak RM148 billion (46%).

Untuk Bajet 2021 ini kerajaan akan meminjam sebanyak RM85 billion.

Sebahagian besar daripada pinjaman ini adalah daripada KWSP, KWAP, Tabung Haji, PNB dan lain-lain yang membeli bon kerajaan.

Mungkin sebab ini kerajaan hanya membenarkan sebahagian kecil iaitu kurang 10 peratus atau 600 ribu daripada 7 juta pencarum aktif KWSP untuk mengeluarkan simpanan Akaun 1 mereka, itupun hanya sebanyak RM500 sebulan.

Hakikatnya, kerajaan mahu guna dan pinjam duit KWSP ini untuk Bajet 2021 mereka.

2. JARAH DIVIDEN PETRONAS KERANA KELOMPONGAN SST

Sebahagian besar daripada hasil bukan cukai kerajaan sebanyak RM62.5 billion adalah daripada dividen minyak Petronas.

Untuk Bajet 2021 ini, Petronas akan membayar dividen sebanyak RM34 billion, iaitu yang kedua tertinggi dalam sejarah selepas pembayaran dividen sebanyak RM54 billion tahun lalu kepada kerajaan PH.

Sebelum ini, pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan tidak pernah melebihi RM30 billion.

Apabila GST diperkenalkan pada tahun 2015 dengan kutipan sebanyak RM44 billion pada tahun 2016, pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan telah menurun kepada RM16 billion untuk dua tahun berturut-turut.

Namun apabila GST dihapuskan dan SST diperkenalkan semula, pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan telah melonjak melebihi RM50 billion tahun lalu walaupun harga minyak telah menurun dengan mendadak.

Hasil cukai SST dijangka menurun daripada RM27.7 billion tahun lalu kepada RM24.5 billion tahun ini, kurang RM20 billion berbanding kutipan GST sebelum ini.

Lompongan hasil akibat SST ini perlu ditampung dengan kenaikan pembayaran dividen Petronas.

Pada enam bulan pertama tahun ini, Petronas merekodkan kerugian sebanyak RM16.5 billion.

Aliran tunai Petronas diunjur negatif pada tahun 2021.

Cukai pendapatan petroleum dijangka menurun RM12 billion, daripada RM20.8 billion tahun lalu kepada RM8.5 billion tahun ini kerana penurunan harga minyak mentah daripada USD60 setong tahun lalu kepada RM40 setong tahun ini.

Dengan pembayaran dividen yang tinggi kepada kerajaan di kala harga minyak mentah dunia yang rendah yang membawa kepada kerugian berbillion ringgit kepada Petronas, harga minyak di pam kepada pengguna di Malaysia juga tidak akan banyak dapat diturunkan oleh kerajaan walaupun dengan mekanisme apungan harga sedia ada.

Oleh itu, yang untung adalah tokey-tokey yang lari dari bayar cukai GST dengan pengenalan semula SST (sebanyak RM20 billion), manakala yang rugi adalah Petronas, kerajaan dan rakyat.

ISHAM JALIL
7 November 2020

……..

P/S: Berkenaan Peruntukan RM85 juta kepada JASA:

JASA adalah satu agensi politik. Pegawai-pegawai JASA biasanya diletakkan di setiap kawasan Parlimen untuk memantau dan membantu kegiatan politik bagi pihak kerajaan.

Pada tahun 2018, beribu-ribu pegawai JASA telah dibuang kerja oleh kerajaan PH. Mereka ini mungkin boleh diambil kerja semula.

Namun adakah kerajaan PN atau PPBM akan mengambil semula pegawai-pegawai JASA yang dibuang kerja dahulu?

Atau sebaliknya melantik dan menggaji pegawai-pegawai baru di kalangan ahli-ahli politik dan penyokong mereka sebagai pegawai JASA di setiap kawasan Parlimen?

Sebelum ini peruntukan kepada JASA adalah lebih kurang RM20 juta setahun.

Peruntukan empat kali ganda daripada biasa iaitu sebanyak RM85 juta kepada JASA oleh PN dalam Bajet 2021 ini menimbulkan tanda tanya.

Petronas lulus RM10 bilion lagi kepada kerajaan bagi tangani Covid-19

Leave a Reply