Rakam serbuan polis, bukan satu kesalahan – Majlis Peguam

PETALING JAYA: Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) berkata merakam serbuan polis bukan suatu kesalahan.

Presidennya Salim Bashir berkata, aktivis pelajar Wong Yan Ke tidak melanggar undang-undang ketika merekodkan serbuan polis di rumah rakannya, kerana tindakan itu tidak menimbulkan sebarang bentuk keganasan yang boleh mengganggu tugas penjawat awam.

Beliau meminta polis menggunakan budi bicara sewajarnya dalam semua keadaan ketika menjalankan tugas.



“Selagi pegawai polis menjalankan tugas mengikut undang-undang, tidak ada alasan untuk mereka melarang rakaman itu.

Salim Bashir.

“Ia tidak boleh ditafsirkan sebagai tindakan agresif atau mengancam yang akan membawa kepada kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salim memberikan contoh pegawai penguatkuasa di negara lain seperti di AS dan UK, juga menggunakan kamera badan dan papan pemuka untuk merakam interaksi orang ramai dan mencegah salah laku polis.

Beliau berkata, pada September tahun lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut menyatakan penggunaan kamera badan akan memastikan ketelusan dalam pasukan keselamatan itu.



“Tugas polis sangat penting dalam meningkatkan keselamatan dan kepercayaan masyarakat. Majlis Peguam menggesa polis menggunakan budi bicara mereka sewajarnya dan munasabah dalam setiap situasi,” katanya.

Wong, bekas presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), ditahan semalam selepas merakam serbuan polis di kediaman presiden pergerakan itu, Robin Yap Wen Qing. Dia bagaimanapun dibebaskan hari ini.

Yap dan naib presidennya, Tan Li Yuan, disiasat atas dakwaan hasutan dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian susulan kenyataan Umany mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

Kumpulan itu menyiarkan artikel bertajuk “Yang Di-Pertuan Agong should not Interfere in national affairs” (Yang Di-Pertuan Agong tidak harus campur tangan dalam urusan negara) yang disiarkan di Facebook minggu lalu.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker