Persatuan vape sambut baik cukai ke atas peranti rokok, cecair

PETALING JAYA: Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta) menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan cukai ke atas semua peranti rokok elektronik dan cecair.

Presidennya, Rizani Zakaria berkata, ia “langkah pertama yang baik” dalam mengawal selia industri vape kerana tiada undang-undang jelas untuk dipatuhi pengusaha perniagaan vape.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 mengumumkan peranti e-rokok dan rokok lain, termasuk vape, akan tertakluk kepada 10% duti eksais mulai 1 Jan 2021.

Katanya, kerajaan akan melaksanakan duti eksais pada kadar 40 sen setiap mililiter cecair e-rokok.

Rizani berkata, pengumuman sedemikian dialu-alukan kerana industri vape menggesa kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mewujudkan peraturan sejak 7 tahun lalu.

 

Hisap vape di Parlimen, Hisham bayar kompaun RM250

“Duti eksais 40 sen mungkin mengejutkan bagi sesetengah (pemilik perniagaan), tetapi kita perlu menerima ini sebagai permulaan buat industri untuk akhirnya dikawal selia,” katanya kepada FMT.

Walaupun cukai itu boleh mendorong sesetengah kedai vape menaikkan harga mereka, Rizani berkata, beliau optimis jumlah jualan tidak akan jatuh mendadak kerana permintaan e-rokok dan cecair masih tinggi.

Susulan keputusan kerajaan itu, beliau berharap pelaksanaan lanjut kawal selia ke atas pelesenan kedai vape dan penguatkuasaan lebih ketat ke atas mereka yang menjual peranti vape kepada individu bawah umur.

Beliau menggesa Putrajaya berunding dengan Mevta dan pihak berkepentingan lain sebelum memutuskan sebarang undang-undang untuk industri vape dan mereka akan mengadakan rundingan selepas kes Covid-19 berkurangan dan selamat untuk mengadakan pertemuan.

“Kami mempunyai pengalaman lebih 10 tahun, jadi kami tahu bagaimana untuk mencadang dan menasihatkan kerajaan mengenai aspek teknikal peranti vape serta apa yang perlu untuk mengawal industri ini.

“Pada masa depan, kami berharap kerajaan akan memberi kami peluang untuk berunding dengan mereka kerana ini ialah peluang untuk menambah baik industri ini.”

Hishammuddin minta maaf hisap vape dalam Dewan [Video]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker