Kotak makanan komuniti untuk mereka yang terjejas akibat Covid-19
PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan di beberapa buah negeri sememangnya memberi kesan kepada kebanyakan dari kita, apa tah lagi kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Mengawal pergerakan orang ramai keluar dari rumah samalah seperti menghadkan pergerakan mereka yang bekerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Memahami kesukaran ini, Dr Madhusudhan, pengasas Klinik Bergerak Teddy atau “Teddy Mobile Clinic”, telah mencipta ‘kotak makanan untuk komuniti’ di stesen minyak Setia Alam di Shah Alam.
Menurutnya, pada bulan Jun lalu dia bersama seorang rakan, Alfred Samuel Mariyaras telah bekerjasama untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Inspirasi tersebut datangnya dari sebuah projek komuniti yang dilakukan di Austaralia.
Baginya, ini adalah salah satu cara terbaik untuk membantu golongan yang terjejas di samping memberi peluang kepada masyarakat untuk beramal dengan memberi sumbangan.
Beberapa bulan kemudian, jumlah ‘kotak makanan komuniti’ telah meningkat menjadi 50 kotak yang dibuka di sekitar Lembah Klang.
Kebetulan Pengarah Urusan Shell, Shairan Huzani Husain melawat stesen minyak di Setia Alam dan beliau turut teruja untuk membantu projek kotak makanan ini. Dia kemudian menghubungi Dr Madhusudhan dan berbincang tentang proses selanjutnya.
“Kami berbincang dan bermula dari situlah projek ini menjadi lebih besar. Beliau menghubungkan saya dengan peruncit dan pembekal untuk meluaskan lagi projek ini,” jelas Dr Madhusudhan.
Sejak dari situ, lebih kurang 50 buah kotak makanan komuniti telah diletakkan di beberapa tempat di Lembah Klang. Lokasi yang dipilih turut mengambil kira faktor kawalan dan keselamatan.
Dr Madhusudhan mensasarkan setiap kotak makanan komuniti untuk keperluan 10 hingga 15 buah keluarga.
Dengan gelombang kedua pandemik Covid-19 yang melanda, lebih ramai pelajar dan warga emas telah mengambil makanan di kotak tersebut.
Untuk golongan yang terjejas ini boleh terus ke mana-mana stesen minyak Shell yang mengambil bahagian untuk mendapatkan makanan yang disediakan.
Bagi memberi peluang kepada semua, setiap individu keluarga boleh mengambil maksimum tiga atau lima bahan makanan bergantung kepada sesebuah stesen minyak.
Orang ramai juga boleh menyumbang bahan makanan dengan meletakkannya di mana-mana kotak makanan komuniti yang tersedia.
Antara makanan yang disaran untuk disumbang adalah seperti makanan dalam tin, makanan segera, gula, kopi, biskut, bihun, beras, minuman soya, susu dan Milo.
Buat masa ini, Dr Madhusudhan sedang berusaha untuk mendapatkan penaja dari mana-mana syarikat yang berminat untuk bekerjasama dengan kerja amal ini.
Beliau percaya, ramai rakyat Malaysia yang bermurah hati dan sentiasa ingin memberi sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan namun tidak tahu caranya.
“Dengan adanya projek seperti ini, ramai yang berpeluang untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik,” jelasnya.
Maka kerana itulah, beliau berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak kotak makanan komuniti di seluruh negara dan stesen minyak yang terbabit boleh bekerjasama dengan badan-badan NGO untuk memastikan mereka yang kurang berkemampuan atau terjejas akan dapat dibela.
Layari Facebook Kotak Makanan Komuniti untuk maklumat lanjut.
You must be logged in to post a comment.