Belanjawan 2021: Survival Pemain Industri Pelancongan Perlu Dibela – Sharkar

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyambut baik pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2021 berhubung pembangunan infrastruktur yang sekali gus boleh menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan negara.

Katanya, beliau menyokong peruntukan kerajaan untuk melaksanakan projek Central Spine Road (CSR) melibatkan jajaran baharu, dan projek jalan pintasan Cameron Highlands.

“Sememangnya dua projek ini perlu untuk meningkatkan aspek kemudah-sampaian serta memendekkan tempoh perjalanan antara destinasi-destinasi berkenaan.

“Ini sekali gus akan meningkatkan kehadiran pelancong ke destinasi-destinasi berkenaan khususnya Cameron Highlands yang kita sedia maklum sering berdepan masalah kesesakan lalu lintas terutama pada musim cuti sekolah.



“Cuma, apa yang dilihat mendapat rungutan dari rakyat selepas Belanjawan 2021 dibentangkan adalah soal nasib atau survival pemain industri pelancongan yang terjejas ekoran Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, seharusnya, dalam Bajet 2021, kerajaan memberikan penekanan kepada membantu pemain industri pelancongan yang rata-ratanya pada ketika ini ‘lumpuh’ kesan penularan pandemik itu.

“Saya ambil contoh di Pahang, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020, industri pelancongan negeri ini dianggarkan mengalami kerugian RM2 bilion apabila kehilangan perbelanjaan pelancong.

“Jumlah anggaran kerugian itu bukan sahaja membabitkan sektor perhotelan malah semua sektor dalam industri pelancongan di negeri ini, jika sektor perhotelan sahaja, dianggarkan kerugian yang dialami berjumlah RM500 juta.



“Jadi, kerajaan seharusnya memberikan penekanan kepada membantu pemain industri pelancongan ini bagaimana untuk mereka meneruskan survival mereka dalam keadaan negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19.”

Ujarnya, dalam keadaan negara masih berdepan penularan wabak Covid-19, pemain industri pelancongan perlu dibantu.

“Sebagai contoh pengusaha bas persiaran yang hilang punca pendapatan sehingga tidak mampu membayar gaji pekerja dan hutang pinjaman.

“Pemandu pelancong yang hilang pendapatan semasa PKPB dan PKPP, tidak ada tabungan KWSP. Amat terkesan dengan Covid-19 Ini.”



Tegas beliau yabg juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang, jika tiada bantuan dan sokongan yang wajar dalam tempoh 12 bulan ini, industri akan merundum dengan lebih cepat dan drastik.

“Ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Sewajarnya pihak kerajaan menilai semula bentuk bantuan dan sokongan terhadap industri pelancongan negara supaya terus dapat menyediakan pekerjaan seterusnya menjana ekonomi negara.”

Antaranya inisiatif yang kerajaan boleh laksanakan adalah seperti berikut:

1. PELEPASAN CUKAI



Inisiatif ini antara kaedah untuk merangsang industri pelancongan negara. Sebagai contoh, bagi individu yang pergi bercuti lebih dari tiga hari ataupun mereka berbelanja lebih RM3,000 mereka boleh dapat pelepasan cukai.

2. BAUCAR KEPADA HOTEL

Seperti mana kerajaan memberikan baucar seperti baucar buku, pihak hotel juga sewajarnya diberikan baucar dari pihak kerajaan. Menerusi cara ini, ia dapat menyelamatkan hotel dari terus hilang pelanggan ekoran Covid-19.

3. CUTI SEKOLAH



Musim cuti persekolahan perlu diubah supaya semua sekolah tidak bercuti serentak.

Sebagai contoh, setiap kali musim cuti sekolah hanya tiga atau empat negeri yang bercuti. Ini penting bagi memastikan tidak berlaku limpahan pelancong sekali gus menyebabkan kesesakkan kerana mereka bercuti pada masa yang sama.

Jika tidak, aktiviti pelancongan domestik hanya akan tertumpu pada cuti hujung minggu atau hari-hari tertentu sahaja dan lebih parah lagi menyebabkan kesesakan melampau sebagai contoh di Cameron Highlands, jika pada cuti hujung minggu kesesakannya tidak boleh diatasi.

4. INSENTIF BEKERJA DARI LUAR, HOTEL



Sewaktu PKPB dilaksanakan, kerajaan boleh melaksanakan pemberian insentif kepada kakitangan awam untuk mereka bekerja bukan sahaja di rumah malah di hotel, ini sekali gus memberi peluang kepada mereka bercuti bersama keluarga. Jika ada surat kebenaran dari kerajaan untuk mereka berbuat demikian, sudah tentu ia akan merancakkan sektor perhotelan negara. – UMNO Online

Kes Rogol : MB didesak arah dua exco bercuti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker