Sampai bila hendak kencing rakyat
Cadangan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menggesa bank melaksanakan penghapusan hutang secara bersasar, khasnya kepada kumpulan berpendapatan 40 peratus terbawah (B40) disifatkan tidak lebih daripada penipuan pada siang hari.
Namun cadangan itu langsung tidak mengejutkan kerana sebelum ini ada sahaja pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) memberi harapan tinggi tetapi akhirnya hanya tinggal janji.
“Ingat lagi bagaimana Lim Guan Eng sebelum menang Pilihan Raya Umum ke-14 pernah berjanji segala macam? Beliau bercakap dengan begitu ‘syok’ sekali tentang perkara-perkara yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh kerajaan.
“Sebenarnya cadangan Wan Faysal ini boleh tahan jugalah berbanding Guan Eng yang kononnya jika menang besar mahu terus hapuskan tol, minyak turun sehingga RM1.50
“Mahu hapuskan GST yang begitu membebankan rakyat tapi kemudian ganti pula dengan SST, ini belum pula ditambah dengan lain-lain projek serta kononnya inisiatif hebat untuk bantu rakyat seperti MySalam, hapus PTPTN dan kereta terbang.
“Jika hendak senarai, memang tidak cukup ruang. Tapi akhirnya rakyat juga yang kena ‘kencing’ kena tipu. Sampai bila anda-anda mahu terus bercakap retorik seperti ini? Rakyat pun bukan bodoh untuk kamu terus perlakukan seperti ini,” kata Presiden Makkal Sakthi, Datuk RS Thanenthiran kepada MalaysiaGazette hari ini
Semalam, Wan Faysal menggesa bank menghapuskan bayaran faedah dan hutang kepada peminjam B40 kerana cadangan yang sama turut dibangkitkan di negara lain.
Katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi yang memiliki saham di bank mempunyai kewajipan sosial terhadap rakyat dan mereka perlu membuat pengorbanan.
Jelas Thanenthiran lagi, untuk berjanji bulan bintang serta memberi harapan tinggi sememangnya senang namun pada saat ini, rakyat sedang menderita.
“Fikir mereka dahulu. Jangan senang-senang cakap. Kasihan mereka, perlu fokus dan bukan sahaja bercakap sebaliknya menjadikan ianya satu realiti buat mereka. Cakap dan buat sesuatu yang boleh bukan untuk kepentingan politik atau peribadi.
“Jangan buat kerana publisiti, fikir sebelum buat atau cakap sesuatu. Tolonglah,” ujarnya. MG
You must be logged in to post a comment.