Raja Pecut Asia Tenggara sertai acara 300 meter

Share

KUALA LUMPUR: Alet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi tetap mempunyai misi tersendiri apabila beraksi dalam sesi ujian latihan di Bukit Jalil, Sabtu ini yang dianggapnya sebagai pemanas badan sebelum beraksi dalam kejohanan sebenar.

Walaupun acara kegemarannya 100 meter tidak dipertandingkan, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina itu tetap mahu melakukan yang terbaik apabila beraksi dalam acara 300m.

“Pada sesi ujian Sabtu ini saya hanya beraksi dalam acara 300 meter (m) sebagai pemanas badan. Mungkin belum masanya lagi untuk jurulatih (Dwayne Miller) meletakkan saya dalam acara 100m buat masa ini. Apapun saya tetap bersetuju dengan pilihan jurulatih.

“Jadi, saya tetap akan buat yang terbaik bagi menilai tahap prestasi semasa saya,” kata Haiqal yang merekodkan 34.3 saat (catatan tangan) dalam acara 300m sebagai catatan terbaiknya.

Sebanyak 10 acara akan dipertandingkan pada sesi ujian itu nanti – 60m, 300m, 1000m, 60m lari berpagar, lompat jauh, lompat tinggi, lompat galah, lontar peluru dan tukul besi yang membabitkan penyertaan keseluruhan 53 atlet lelaki dan wanita.

Sesi ujian latihan itu adalah medan buat jurulatih untuk menilai tahap prestasi semasa atlet selepas hampir empat bulan kembali menjalani latihan yang mana sebelum itu latihan terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

Jika semuanya mengikut perancangan, atlet akan beraksi buat kali pertama dalam kejohanan sebenar pada saingan Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung bermula 11 hingga 13 Disember depan yang turut menawarkan tiket untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan.

Leave a Reply