Pakar jangka belanjawan besar didanai dengan hutang

Pakar ekonomi menjangka kerajaan akan mengumumkan belanjawan yang besar hari ini walaupun harga minyak yang rendah menjadi penghalang ke atasnya.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway dan Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan, melainkan meminjam lebih banyak wang untuk membiayai pemulihan ekonomi negara.

“Harga minyak yang rendah akan menghalang kerajaan daripada mengambil langkah lebih agresif dan perbelanjaan belanjawan mengembang yang didanai dengan hutang,” katanya.

“Ia mungkin akan memperluaskan defisit dan paras hutang ke tahap lebih tinggi bagi mengelakkan penurunan penarafan negara oleh agensi penarafan antarabangsa.”

Harga minyak mentah kini adalah di bawah AS$40 dolar setong. Kejatuhan setiap dolar harga minyak akan menyebabkan Malaysia kehilangan kira-kira RM300 juta hasil.

Barjoyai berkata, halangan itu tidak akan menyebabkan kerajaan berundur daripada meneruskan langkah rangsangan melalui pakej Prihatin dan Penjana.

“Hutang kita akan bertambah, tetapi saya tidak fikir ia akan memberi kesan ke atas taraf kredit kerana sekarang adalah keadaan yang luar biasa,” katanya.

Katanya kepada FMT bahawa beliau menjangka Putrajaya akan mengelak daripada membuat kesilapan kerajaan sebelum ini yang membuat unjuran harga minyak yang terlalu optimistik.

“Belanjawan 2020 didasarkan pada harga minyak AS$62 setong, tetapi harga purata sebenar ialah sekitar AS$40 setong,” katanya.

“Saya fikir, kali ini kerajaan tidak akan mendasarkan belanjawannya ke atas harga minyak lebih daripada AS$45 setong kerana penganalisis antarabangsa menjangkakan harga purata antara AS$45 ke AS$46 setong.”

Dalam pada itu Renato Lima de Olivera dari Asia School of Business berkata, kerajaan boleh mengambil dividen yang agak besar daripada Petronas, tetapi perlu berhati-hati susulan unjuran mencabar yang dihadapi oleh industri minyak dan gas pada masa ini.

“Kita kini berada dalam 2 bulan terakhir tahun ini, tetapi permintaan pasaran belum pulih,” katanya.

“Malah pelaksanaan perintah sekatan baru di seluruh dunia akan terus melemahkan permintaan terhadap minyak.

“Selain itu, peniaga mahu melepaskan stok minyak yang terkumpul pada harga tawaran tahun ini.”

Beliau berkata, harga minyak dijangka kekal di bawah AS$50 dolar setong tahun depan dan ini bermakna syarikat minyak dan gas perlu menilai peluang pelaburan dengan lebih teliti, selain menggunakan sumber yang ada untuk membangunkan kemampuan baru dalam sektor tenaga boleh diperbaharui atau bahan api baru.

“Mereka perlu melabur untuk menjamin masa depan dalam dunia yang semakin komited untuk mengurangkan jejak karbon masing-masing,” katanya.

“Menggunakan tunai untuk membayar dividen boleh membahayakan kemampuan syarikat untuk membuat pelaburan dalam keupayaan penting untuk kelangsungan masa panjang mereka.”. FMT

Kita mungkin rugi RM31 bilion tahun ini kerana harga minyak rendah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker