Kita mungkin rugi RM31 bilion tahun ini kerana harga minyak rendah

Mungkin rugi RM31 bilion tahun ini kerana harga minyak rendah, kata penganalisis

Seorang penganalisis di sektor minyak dan gas memberi amaran Malaysia mungkin kerugian kira-kira RM31 bilion hasil tahun ini kerana harga minyak mentah yang rendah, yang terus diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19.

Renato Lima de Olivera, seorang penolong profesor di Asia School of Business, berkata faktor yang merumitkan bagi Malaysia adalah lembangan yang matang dan kos pengeluaran yang lebih tinggi berbanding pengeluar di Timur Tengah.

“Walaupun kebanyakan negara anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) masih dapat mengaut keuntungan apabila melombong minyak pada AS$20 setong, banyak lagi negara akan menyaksikan kegiatan penerokaan mereka terhenti,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas harga minyak AS yang melantun melebihi sifar semalam, sehari selepas niaga hadapan West Texas Intermediate ditutup pada -AS$37.63.

Olivera berpandangan harga minyak yang rendah itu kerana permintaan terhadap komoditi itu berkurangan di sektor pengangkutan kerana sekatan perjalanan Covid-19.

“Kira-kira 60% daripada penggunaan minyak global adalah di sektor pengangkutan tetapi kini, pergerakan tersekat kerana negara mengamalkan langkah-langkah sekatan keluar masuk.”

Kerana pengeluaran berterusan ketika permintaan rendah, Olivera berkata kos penyimpanan minyak sudah meningkat.

“Bagi mengosongkan ruang penyimpanan, harga jadi negatif. Walaupun negara anggota Opec bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari, iaitu pengurangan sebanyak 10% daripada 100 juta tong yang digunakan serata dunia sehari, masih ada lebihan minyak yang dikeluarkan kerana permintaan turun hampir 30%.”

Minyak disimpan dalam tangki-tangki yang hampir mencapai kapasiti penuh. Olivera berkata walaupun permintaan pulih, harga akan kekal rendah kerana lebihan minyak dalam simpanan.

Beliau berkata ini akan memberikan “impak agak besar” pada Malaysia selaku pengekspot bersih minyak yang dapat manfaat daripada harga minyak yang tinggi.

Beliau berkata Kementerian Kewangan sebelum ini menganggarkan penurunan harga minyak sebanyak AS$1 akan menyebabkan negara kerugian hasil sebanyak RM300 juta.

“Petronas, selaku syarikat 100% milik negara dengan keberadaan yang agak besar di peringkat antarabangsa, akan terkesan dengan harga minyak yang rendah. Dengan hasil yang lebih sedikit, lebih mencabar untuk ia membuat perbelanjaan modal yang sama dan membayar dividen kepada kerajaan.”

Katanya, tentu saja rantaian bekalan minyak dan gas juga akan terkesan, yang boleh menyaksikan kehilangan pekerjaan dan pengurangan dalam kegiatan ekonomi yang diciptakan oleh pelaburan modal.

Beliau berkata analisisnya menunjukkan jika harga kekal bawah AS$30 setong, hasil fiskal daripada minyak dan gas boleh berkurangan sebanyak AS$7.1 bilion (RM31.2 bilion).

Tentang berapa lama harga ini akan rendah, Olivera berkata dalam jangka masa pendek ia bergantung kepada pembatalan sekatan perjalanan yang dilaksanakan negara-negara serata dunia kerana Covid-19.

“Lagi cepat ekonomi kembali normal dengan orang ramai pergi berjalan, lebih baik untuk industri minyak.

“Dalam jangka masa sederhana dan panjang, harga minyak akan ditekan oleh peralihan tenaga dan usaha negara Opec untuk mendapatkan kembali bahagian pasaran yang terlepas kepada pengeluar minyak tidak konvensional.”

Beliau berkata Putrajaya mungkin perlu pertimbangkan kemungkinan harga rendah akan menjadi “normal baru” dan menggiatkan usaha mempelbagaikan sumber hasil dan melabur dalam inovasi bagi mengurangkan kos pengeluaran domestik.

Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai di Universiti Tun Abdul Razak berkata harga minyak mungkin hanya pulih melebihi paras AS$50 tahun depan.

Beliau menjangkakan syarikat-syarikat berkaitan industri itu akan menyaksikan kadar pengangguran yang tinggi.

Walaupun selepas perintah kawalan pergerakan ditarik balik, Barjoyai berkata penggunaan petrol mungkin tidak meningkat secara drastik kerana orang ramai masih dikenakan peraturan penjarakkan sosial, dan akan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.

“Putrajaya perlu mencipta semula ekonomi, beralih daripada sumber hasil tradisional dan membuang tabiat perbelanjaan lama”.

“Negara tidak boleh kembali kepada keadaan sebelum ini. Dunia akan berubah selepas Covid-19, dan kita mesti bersedia untuk dunia itu,” katanya.

FMT

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker