Kadir cabar potong elaun wakil rakyat kerana sidang Parlimen dipendekkan

Wartawan veteran, A Kadir Jasin menggesa kerajaan memotong gaji dan elaun ahli Parlimen memandangkan sidang Dewan Rakyat akan dipendekkan kepada 4 jam sehari.

Beliau berkata, tindakan memendekkan tempoh persidangan dan mengehadkan 80 ahli Parlimen pada satu-satu masa tidak masuk akal kerana nyawa wakil rakyat dilihat lebih penting berbanding orang lain.

“Orang politik selalu cakap rakyat jelata diutamakan. Tapi nampaknya sekarang, di bawah kerajaan Perikatan Nasional, nyawa dan kebajikan ahli Parlimen lebih diutamakan.

“Kalau macam itu, nampaknya tempoh kerja dan kehadiran kakitangan hospital, polis, tentera dan segala macam perkhidmatan kerajaan pun kenalah dihadkan kepada 4 jam sehari dan 80 orang satu giliran.



“Oleh kerana ahli politik selalu berhujah kononnya mereka berkorban untuk rakyat jelata, kita cabar mereka potong gaji dan elaun mereka, khususnya elaun persidangan kerana mereka hadir Parlimen sekali-sekala dan itu pun untuk 4 jam saja,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, keadaan Covid-19 bukan alasan untuk mengorbankan keberkesanan dan kewibawaan Parlimen kerana kadar jangkitan berbanding jumlah penduduk di negara ini antara terendah.

“Tidak tahulah pula kalau di sebalik pelaksanaan peraturan luar biasa Parlimen itu ada muslihat yang tersirat memandangkan kedudukan kerajaan PN yang terumbang-ambing dan banyak usul tidak percaya telah dikemukakan.”

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan memasuki dewan pada satu-satu masa bermula esok dengan waktu persidangan dipendekkan dari 10 pagi hingga 2 petang minggu depan untuk membendung penularan Covid-19 di Parlimen.



Sebanyak 41 daripada 80 kerusi akan diwakili ahli Parlimen PN dan 39 kerusi lagi untuk pembangkang dan bebas. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker