Bersembang kuat di telefon punca gaduh sampai mati

Segamat: Polis menahan lapan warga asing yang bekerja di tapak pembinaan di Taman Kenari, Bukit Siput, di sini,. bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki Bangladesh dalam pergaduhan, Selasa lalu.

Mangsa berusia 44 tahun mati digilis tiga kali dengan kereta Proton Gen2 dipandu suspek warga Indonesia dikenali ‘Amir’, 25, yang kini menjadi buruan polis selepas kejadian pada 10.55 malam itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka ditahan terdiri daripada tujuh lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki Myanmar berusia di antara 29 hingga 53 tahun.

“Mangsa maut di lokasi kejadian akibat digilis tiga kali ketika menghalang kereta Proton Gen2 dipandu suspek dalam usahanya melarikan diri.

“Sebelum melarikan diri suspek turut menikam seorang lagi lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun menggunakan pisau pemotong sayur mengakibatkan kecederaan di bahagian badannya.

“Susulan kejadian itu, suspek melarikan diri dengan memandu Proton Gen2 dan kereta itu kemudiannya ditemui ditinggalkan suspek empat kilometer dari lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Unit K9 di Bukit Siput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian sebelum menemui mangsa dalam keadaan parah dan kemudian disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan mangsa tidak berpuas hati apabila suspek bercakap dengan kuat menggunakan telefon bimbit sehingga mengganggu dia dan rakannya yang sedang tidur di rumah kongsi mereka.

“Berang akibat ditegur, suspek memanggil beberapa rakannya warga Indonesia untuk menyerang kumpulan warga Bangladesh itu sehingga tercetus pergaduhan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang memiliki maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan (SIO) Asisten Superintendan Norisyah Abdul Rahim di talian 07-9312222 atau 019-6507299.

“Semua suspek kini direman lima hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. HM

‘Wanita jadian’ perdaya 40 lelaki

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker