Berhati-hati dengan ‘scammer’ Covid-19

Kuala Lumpur: Orang ramai diminta berhati-hati dengan taktik terbaru sindiket penipuan yang dipercayai menyamar sebagai pegawai kesihatan untuk memperdaya mangsa.

Difahamkan, mereka akan menghubungi mangsa kononnya mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dan meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM150.

Bukan itu saja, pemanggil turut meminta maklumat kad kredit menyebabkan mangsa yang panik akan menuruti arahan.

Pengerusi dan Pengasas Bersama Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian itu.

Menurutnya, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan meminta maklumat kad kredit dan bayaran.

“Ya, pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akan hubungi pesakit jika ada keperluan pengesanan kontak.

“Tapi panduan dan temujanji akan diberikan untuk saringan dibuat di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Pegawai KKM tidak akan meminta maklumat kad kredit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, maklumat dikongsi beliau di Facebook Medical Mythbusters Malaysia yang meminta orang ramai berhati-hati dengan taktik ‘scammer Covid-19’ itu tular di media sosial.

Ahmad Firdaus meminta orang ramai yang menerima panggilan sedemikian supaya tidak terpedaya.

“Zaman sekarang scammer akan gunakan keresahan dan panik masyarakat untuk membuat penipuan dan mengaut keuntungan,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya mengambil maklumat pemanggil termasuk nama, institusi dan merekod nombor telefon serta digalakkan membuat laporan polis.

Katanya, jika terdapat sebarang keraguan boleh menghubungi CPRC Negeri atau Daerah untuk mendapatkan maklumat sahih.-HM

Polis dedah senarai 12 pelaburan online ‘jerat’ mangsa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker