Nelayan dikhuatiri lemas jatuh bot

Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan kira-kira 24 batu nautika Timur Kuantan malam kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu melibatkan warga tempatan dikenali sebagai Muhammad Aminullah Azmi, 29.

Menurutnya, sejurus menerima aduan melalui Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan, operasi carilamat diaktifkan pada jam 10.50 pagi kelmarin dengan menggerakkan Bot Maritim Kilat 50 ke lokasi kejadian.

“Ini adalah kejadian kedua nelayan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan dalam tempoh tiga hari selepas kejadian pertama di perairan Endau, Rompin, kelmarin (Selasa lalu).

“Dalam kedua-dua kes ini, semua mangsa difahamkan tidak memakai jaket keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Amran berkata, keadaan laut yang bergelora dan cuaca buruk menyukarkan operasi carilamat mangsa terlibat.

Muhammad Aminullah dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan kira-kira 24 batu nautika timur Kuantan malam kelmarin. – Foto Ihsan APMM
“Operasi carilamat mangsa disambung awal pagi ini (semalam) oleh kapal maritim KM Pekan yang sedang beroperasi mencari mangsa yang hilang di perairan Endau sebelum ini.

“Pencarian mangsa hilang di Perairan Endau yang masuk hari ketiga disambung oleh KM Tatau dan dibantu bot Kilat 14 dari Zon Maritim Mersing bersama bot PSC 31 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan,” katanya. Sinar

Warga emas dikhuatiri mati lemas ketika keluar beli sarapan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker