‘Janganlah sehingga merosakkan kubur’

Gua Musang: “Janganlah sehingga merosakkan kubur Orang Asli apabila buka kebun sayur,” kata Penghulu Orang Asli Kampung Jedip, Pos Brooke, Nasir Busu.

Dia mendakwa, kubur kaum di kampung terbabit semakin terancam dengan pembukaan kebun sayuran oleh beberapa syarikat.

Katanya, masalah pencerobohan tanah perkuburan kaum itu sering dihadapinya dan terpaksa dipertahankan.

“Baru-baru ini kami beramai-ramai terpaksa berkumpul di kawasan tanah perkuburan itu bagi menahan jentolak pekebun sayur menyodoknya.

“Bagaimana, sejak bantahan besar-besaran itu setakat ini keadaannya masih bertahan dan gagal disodok,” katanya ketika di temui di Kampung Jedip, dekat sini, hari ini.

Busu berkata, kubur Orang Asli yang hampir musnah disodok syarikat penanam sayur itu termasuk bapanya lebih setahun lalu.

Katanya, dia bersama penduduk tetap mempertahankan kubur itu daripada musnah dengan memantau setiap masa kerana itu sahaja tanah perkuburan yang ada.

“Bagaimanapun, kami masih bimbang dengan pencerobohan syarikat pengusaha kebun sayuran yang kini semakin tamak berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Alim Ahmad, 32, pula berkata, tanah perkuburan di Kampung Jedip itu mula dibuka sejak 10 tahun lalu.

Katanya, kawasan itu masih dikelilingi hutan tetapi kini semakin banyak syarikat membuka kebun sayur di situ hingga sukar dikawal.

“Malah, bukan sahaja kebun penduduk yang ditanam dengan pisang, petai dan dokong dimusnahkan tetapi kini kubur pula menunggu masa.

“Apapun, kita tetap bertegas untuk menghalang mana-mana pihak yang cuba menceroboh tanah perkuburan itu,” katanya.-HM

https://mykmu.net/2017/11/24/tudung-adui-parah-macam-ni-kalau-ya-pun-janganlah-cakap-dengan-orang/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker