Cabul, simpan seluar dalam pesakit kerana pengaruh rakan
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pembantu perubatan lelaki yang dipercayai mencabul seorang pesakit lelaki di sebuah hospital di ibu negara, hari ini.
Petugas berusia 22 tahun itu ditahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Setapak, pada jam 5 petang susulan laporan polis dibuat mangsa pada Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata ketika disiasat, suspek mendakwa berkelakuan sedemikian kerana terpengaruh dengan cerita rakan sekerja.
“Menerusi tangkapan itu, polis turut merampas seluar dalam mangsa yang disimpan suspek.
“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebaik keterangannya selesai dirakam,” katanya kepada BH, hari ini.
Kes disiasat mengiku Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, mangsa yang berusia 27 tahun dikatakan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan kerana demam denggi.
Mangsa hadir ke wad kecemasan hospital terbabit pada jam 2.15 petang sebelum dibawa suspek untuk menukar pakaian.
Suspek mendakwa pesakit perlu diperiksa terlebih dulu sebelum bertemu dengan doktor.
Difahamkan, selesai mengenakan pakaian hospital mangsa kemudian dibawa ke satu bilik dan suspek berpura-pura ingin memeriksanya sebelum mengarahkannya menanggalkan seluar.
Suspek kemudian dikatakan meraba dan memasukkan jari ke dalam dubur mangsa selama beberapa minit selain mengambil gambar seluar dalamnya sebelum kehadiran doktor.
Mangsa yang pelik dengan tindakan suspek menceritakan kejadian itu kepada doktor yang merawatnya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Isnin lalu.-BH