Belum sahih tarik diri

Share

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) dinasihatkan supaya berbincang dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum membuat sebarang keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, ia langkah terbaik untuk meminta pendapat MFL terlebih dahulu dan pihaknya sedia memberikan pandangan tentang masalah dihadapi FAS.

“Sepatutnya begitulah datang berbincang di peringkat MFL sebelum buat sebarang kenyataan. Sebab kenyataan-kenyataan sebegini akan memberikan persepsi dan tanggapan yang berbeza.

“Bukan hanya FAS, malah mana-mana pasukan rakan kongsi yang menghadapi masalah juga boleh berhubung dengan MFL terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan atau kenyataan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Selangor tawar gaji RM70,482 buat Sumareh

Terdahulu, sebuah portal berita di Sarawak melaporkan kenyataan Presiden FAS, Datuk Posa Majais yang membayangkan Sarawak United akan menarik diri daripada saingan Liga-M musim depan.

Keputusan itu terpaksa dibuat selepas FAS mendapati mereka kini berdepan masalah kewangan yang serius dan tidak mempunyai sumber pendapatan yang kukuh.

Musim ini, lima pasukan di bawah naungan FAS bersaing dalam liga anjuran FAM iaitu Sarawak United FC (Liga Premier), Sarawak United II (Liga M3), Sarawak United III (Piala Presiden), Sarawak United IV (Piala Belia) dan Sarawak United (Liga Futsal FAM).

Mengulas lanjut, Ab Ghani mengesahkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang surat rasmi daripada FAS mengenai penarikan diri daripada saingan Liga-M musim depan.

“Setakat ini belum ada surat rasmi daripada mereka. Di peringkat MFL, kami tidak mengambil kira sebarang kenyataan jika tiada surat rasmi daripada persatuan tersebut.

“Tetapi bagi saya, ia cuma kenyataan yang dibuat mungkin ketika itu ada sesuatu perkara yang menyebabkan beliau berkata begitu. Jadi, selagi tidak ada surat rasmi, kami tidak melihat ia sebagai keputusan muktamad daripada pasukan terbabit,” jelasnya.

Kuala Lumpur mula menjerit

Leave a Reply