Zero bantu penduduk Kudat yang terjejas akibat Covid-19

Share

Kumpulan pelawak Zero kini giat membantu meringankan beban penduduk kampung halaman mereka di Kudat, Sabah yang rata-ratanya terjejas pendapatan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat peningkatan kes Covid-19 di sana.

Kumpulan dianggotai tiga beradik Atu, Sharif, dan Syaiful itu mengakui sebak melihat nasib penduduk di sana yang ketika ini tiada punca pendapatan.

Atu atau nama sebenar Sharif Kunal Doli Sharif, 28, berkata, disebabkan itu mereka berbesar hati untuk bekerjasama dengan mana-mana badan amal dalam misi menghantar bantuan di sana.

“Disebabkan PKPB, golongan nelayan dan petani di kampung halaman kami hilang mata pencarian. Keadaan di sana sudah berubah 360 darjah sehingga menyukarkan kelangsungan hidup terutama bekalan makan seharian.

“Buat masa sekarang, kami cuba membantu semampunya terutama golongan asnaf, keluarga besar dan yang langsung tak boleh keluar rumah. Apa saja yang kami ada, kami salurkan secukupnya kepada mereka,” katanya.

Terbaru, mereka bekerjasama dengan badan amal IKHLAS dan menyeru orang ramai memberi sumbangan bagi misi itu selepas menyaksikan sendiri kesusahan penduduk di sana.

“Sekarang saya sendiri berada di kampung halaman. Saya menyaksikan kesusahan penderitaan terutama golongan nelayan yang tidak dapat turun ke laut langsung. Jadi, saya mohon marilah menyertai kami untuk bersama-sama meringankan kesusahan ditanggung mereka,” katanya. HM

Murninya hati Atu Zero dan isteri, edar PPE di Sabah pula

Leave a Reply