Murninya hati Atu Zero dan isteri, edar PPE di Sabah pula

Pelakon dan pelawak Atu Zero, 28, bersama isterinya, Shafeeqa Johari, 34, mengambil inisiatif mengedarkan bantuan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan di Semporna, Sabah.

Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, berkata inisiatif yang dimulakan empat hari lalu itu dibuat selepas mendapat mesej peribadi dari penduduk daerah zon merah mengadu perlukan bantuan PPE.

“Dengan peningkatan kes serta lokasi sekitar Semporna kini semakin merisaukan, kami terpanggil untuk menyalurkan bantuan mengedar PPE percuma ke sana pula. Sebenarnya, bantuan ini kami sudah jalankan sebelum peningkatan kes jangkitan di Sabah lagi.

“Mulanya bantuan itu kami salurkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Kudat. Tiba-tiba, kes di sekitar Semporna pula naik. Kami menggunakan inisiatif mengumpul PPE daripada sukarelawan seluruh Malaysia bagi dihantar ke Sabah.

“PPE itu termasuklah sarung kepala, baju, sarung tangan, hampir keseluruhannya set lengkap yang petugas kesihatan hatus pakai. Mulanya, kami cuma salurkan bantuan di Semenanjung tapi selepas itu memutuskan untuk menghantar ke Sabah juga,” katanya.

Atu berkata inisiatif memberi PPE percuma itu sebenarnya sudah dimulakan beberapa bulan lalu. Bagaimanapun, melihat kepada peningkatan kes di Sabah, mereka kemudian tumpukan saluran bantuan ke sana pula termasuk kampung halamannya di Kudat.

“Sebolehnya, bantuan ini akan disalurkan berterusan sehingga wabak ini dapat ditangani. Saya juga ada terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO) di kampung halaman di Kudat dan bantuannya merangkumi pelbagai aspek termasuk makanan, peralatan dapur, perkakas rumah.

“Selagi kami mampu akan buat bantuan ini. Isteri saya sendiri menjahit PPE itu sambil dibantu sukarelawan yang sudi hulurkan khidmat mereka bagi menolongnya,” katanya.

Meskipun tiada ahli keluarga atau kenalan yang terkesan dengan jangkitan wabak itu, mereka terpanggil untuk sama-sama meringankan beban golongan tidak berkemampuan.

“Kami lakukan semua ini atas dasar kemanusiaan, meskipun tiada saudara mahu pun kenalan terdekat yang dijangkiti wabak itu. Tapi daripada segi ekonomi, di Kudat sendiri memang sangat merudum dan boleh katakan memberi kesan kepada orang kampung saya,” katanya. HM

Pensyarah UiTM hasilkan PPE untuk petugas barisan hadapan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker