Muhyiddin mahu langkah lebih cepat dan berkesan tangani Covid-19
KUALA LUMPUR: Situasi penularan Covid-19 ketika ini memerlukan pendekatan mitigasi atau intervensi yang lebih cepat dan berkesan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 hari ini.
Dalam catatan Facebook hari ini beliau berkata, ia susulan laporan peningkatan kes positif di beberapa daerah di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Johor, yang sebelum ini adalah zon hijau, tetapi menjadi kuning atau merah dalam tempoh 1 atau 2 minggu.
“Pagi ini saya telah mempengerusikan sidang khas MKN berkenaan Covid-19 bagi membincangkan tindakan yang perlu dipertingkatkan bagi mengawal dan menguruskan pandemik itu.
“Saya menyatakan rasa bimbang kepada ahli mesyuarat mengenai situasi pandemik Covid-19 di seluruh negara yang masih mencatat peningkatan dalam kes positif walaupun bukanlah peningkatan yang mendadak,” katanya.
Susulan itu, Muhyiddin mengarahkan MKN membuat penilaian semula ke atas prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sosial dan sukan agar diperketatkan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Jelasnya SOP itu perlu diperketatkan seolah-olah menyamai SOP ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sehubungan itu menurutnya MKN akan membuat pembentangan berhubung cadangan memperketatkan SOP dalam sidang khas MKN esok.
Muhyiddin berharap perkara itu dapat dilaksanakan segera kerana kadar penularan jangkitan pada waktu ini agak membimbangkan.
Beliau turut bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah untuk meminda SOP perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di semua lokaliti yang terlibat di negeri itu.
Beliau berkat, pindaan SOP itu bertujuan membantu penduduk terlibat menjalani kehidupan dalam situasi PKPD dengan lebih baik.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, antara perkembangan positif dilaporkan dalam sidang khas hari ini adalah penamatan PKPD di 8 penjara setelah tiada kes baru dalam tempoh 14 hari dilaporkan.
“Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas kerjasama baik untuk membendung jangkitan Covid-19 di dalam penjara,” katanya.