Maaf, ‘Tiada kebenaran untuk umrah ketika ini’ – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang membenarkan jemaah Malaysia mengerjakan ibadah umrah dalam tempoh terdekat ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, ketetapan itu selepas mendengar pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri, ketika Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu dibuat atas nasihat KKM, untuk tidak membenarkan jemaah Malaysia menunaikan ibadah itu, meskipun Arab Saudi mula membenarkan umrah dijalankan selama 10 hari.

“Zulkifli menjelaskan, walaupun Arab Saudi telah membenarkan ibadah umrah dijalankan selama 10 hari, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang membenarkan jemaah Malaysia ke sana pada masa ini,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook peribadi beliau, malam ini.

Muhyiddin berkata, ketika sidang khas hari ini, Zulkifli turut menjelaskan ketetapan mengenai kebenaran mengadakan majlis pernikahan dan solat Jumaat akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dilaksanakan.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kenyataan bersamanya, menegaskan kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik, demi kepentingan rakyat Malaysia terutama jemaah umrah yang mahu ke tanah suci kelak.

“Bagi kerajaan, keselamatan dan kesihatan jemaah umrah Malaysia adalah keutamaan tertinggi,” katanya.

Minggu lalu, Arab Saudi memutuskan umat Islam dari seluruh dunia berusia di antara 18 hingga 50 tahun, akan dibenarkan mengerjakan umrah selepas permit kebenaran untuk jemaah luar Arab Saudi dibuka mulai 1 November ini.

Dalam usaha mencegah jangkitan COVID-19, antara arahan dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah adalah jemaah perlu menjalani kuarantin selama tiga hari sewaktu ketibaan di negara itu.

Menerusi laporan Saudi Gazette yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah, kesemua syarikat umrah perlu mematuhi peraturan kementerian dan mengawal kehadiran jemaah dari luar negara.

Menurut peraturan itu, jemaah perlu mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang membuktikan mereka bebas COVID-19, tidak lebih daripada 72 jam selepas sampel itu diambil dan dikeluarkan makmal bertauliah di negara asal jemaah.

Kumpulan pertama jemaah umrah luar tiba di Arab Saudi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker