Belanjawan: Jangan bunuh BN, dulu masa PH pembangkang tak dapat
BN tidak bersetuju ahli parlimen pembangkang diberikan peruntukan sama seperti wakil kerajaan di Dewan Rakyat sebagai balasan mereka untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata cadangan itu – jika diterima – dianggap akan “membunuh” BN secara keseluruhan.
“Kami tidak setuju, kenapa perlu beri pada mereka? Itu membunuh kami.
“Dulu semasa dia (Pakatan Harapan) memerintah, dia tak bagi kita pun (peruntukan),” katanya kepada media selepas menghadiri pertemuan ahli parlimen BN di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Tajuddin, isu itu ada dibangkitkan dalam pertemuan mereka sebentar tadi.
Iltizam Tengku Zafrul lindungi rakyat demi negara
Pada masa sama ahli parlimen Pasir Salak itu menegaskan, BN memberi jaminan akan menyokong belanjawan kerajaan Perikatan Nasional itu.
Pembangkang sebelum ini menekankan perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence & supply agreement) untuk membolehkan mereka menyokong Belanjawan 2021.
Belanjawan itu dianggap menjadi ujian buat kerajaan PN, khususnya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.