Anggota RELA maut digilis lori
Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maut selepas motosikal diboncengnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Subang-Sungai Buloh, Sungai Buloh, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Shahrul Rina Mohamad, berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Rakan mangsa, Suzilawati Abdul Rahim, 40, yang menunggang motosikal itu cedera dan ditempatkan di Hospital Shah Alam untuk rawatan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mereka dari Subang hilang kawalan lalu bergesel dengan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun.
“Kejadian itu mengakibatkan pembonceng motosikal terbabit jatuh sebelum diseret lori itu sejauh 19.5 meter.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, satu video berdurasi 21 saat tular di media sosial, memaparkan keadaan dua mangsa itu selepas kemalangan berlaku di lokasi terbabit. BH
You must be logged in to post a comment.