Safawi, Luqman Hakim meniti sejarah gemilang
TEMPOH 16 minit ketika beraksi sebagai pemain gantian kelab KV Kortrijk di pentas liga utama Belgium, Jupiler Pro League, awal pagi Sabtu lalu dianggap cukup berharga buat penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin.
Penampilan sulung Luqman Hakim bersama skuad utama kelab Belgium itu menjadi satu sejarah baharu – bukan sahaja kepada anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, malah arena bola sepak Malaysia.
Meskipun hanya diturunkan dalam tempoh 16 minit terakhir, ia dianggap satu pendedahan terbaik, apatah lagi Luqman Hakim beraksi menentang kelab Anderlecht yang dibimbing bekas kapten Manchester City, Vincent Kompany.
Bagi pemain muda yang baru menjengah usia 18 tahun, lebih-lebih lagi mewakili kelab utama liga di Eropah, tempoh 16 minit tersebut sudah memadai buat Luqman Hakim untuk membina keyakinannya.
Paling penting, Luqman Hakim sudah mendapat ‘minit permainan’ bersama skuad utama KV Kortrijk bimbingan Yves Vanderhaeghe yang dimiliki ahli perniagaan terkenal Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.
Detik bersejarah di Stadium Guldensporen, Kortrijk itu juga sekali gus mengakhiri penantian peminat bola sepak tanah air untuk melihat kelibat graduan program Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu.
Bagaimanapun, ceritera itu hanya satu permulaan buat Luqman Hakim. Kembara Luqman Hakim di bumi Belgium masih panjang. Begitu juga dengan situasi yang dialami seorang lagi penyerang muda negara, Safawi Rasid.
Hampir sebulan berkelana ke Portugal – negara kelahiran bintang Juventus, Cristiano Ronaldo – Safawi kini hanya menunggu detik terbaik menggalas cabaran skuad utama kelab Portimonense SC.
Selepas membarisi skuad Bawah 23 tahun Portimonense ketika menentang Sporting CP minggu lalu, Safawi dijangka membuat penampilan bersejarah dalam Liga Primeira ketika aksi menentang Santa Clara pada Ahad ini.
Kini, baik Safawi mahupun Luqman Hakim, kedua-dua bintang muda negara itu hanya mengharapkan sokongan dan doa peminat bola sepak negara untuk mereka mencipta nama di bumi asing.
You must be logged in to post a comment.