Undian belanjawan peluang akhir Anwar

Adakah Anwar Ibrahim masih mempunyai peluang mengambil alih Putrajaya dari Perikatan Nasional?

Malaysiakini membawakan topik ini kepada beberapa pemerhati politik, meminta pendapat mereka dalam isu ini setelah Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan pada hari Isnin bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Menurut James Chin, seorang penganalisis politik dan profesor Kajian Asia, hasil mesyuarat MT Umno itu menutup peluang untuk Anwar menjadi perdana menteri.



Dia mengatakan satu-satunya harapan ketua pembangkang itu untuk meneruskan rencananya sekarang adalah dengan mengalahkan Belanjawan 2021 kerajaan, yang akan dibentangkan di parlimen bulan depan.

“Jadi, satu-satunya peluang yang dimiliki Anwar adalah menyusun semula penyokongnya dan berusaha mengalahkan proses belanjawan. Kerana di bawah sistem kita, jika rang undang-undang belanjawan dikalahkan, kerajaan akan jatuh,” kata Chin, yang berkhidmat di University of Tasmania.

Namun, itu bukan suatu tugas yang mudah bagi Anwar.



Salah satu cabarannya, kata Chin, Anwar tidak akan mendapat sokongan ahli parlimen Umno setelah keputusan parti itu kelmarin.

“Saya rasa pada masa ini, majoriti orang Umno akan memilih status quo. Ini bermakna Muhyiddin akan tetap menjadi perdana menteri, dan Anwar telah kehilangan peluangnya,” katanya.

Tambah Chin, Muhyiddin juga tidak akan berdepan masalah untuk meluluskan rang undang-undang belanjawan.

“Oleh kerana kebanyakan orang tidak menyedarinya, rang undang-undang belanjawan biasanya dibaca tiga kali. Jadi, sementara itu, mana-mana ahlu parlimen yang boleh mengadu (tentang belanjawan), dan mereka (PN) dapat memberinya belanjawan tambahan.



“Jadi saya tidak jangka dia akan menghadapi masalah dalam meluluskan belanjawan,” katanya.

Bulan lalu, Anwar, yang merupakan presiden PKR, membuat pengumuman yang mendakwa bahawa dia mempunyai sokongan anggota parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan, sehingga menimbulkan spekulasi kuat bahawa ahli parlimen Port Dickson itu berjaya membuat anggota parlimen kerajaan termasuk dari Umno beralih sokongan kepadanya.

Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, pada hari yang sama dengan pengumuman Anwar, mengatakan bahawa banyak ahli parlimen BN dan Umno telah menyuarakan sokongan mereka terhadap Anwar.

Bagaimanapun, sejumlah ahli parlimen Umno secara terang-terangan menafikan terlibat dalam rancangan Anwar.



Anwar mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada 12 Oktober, di mana dia sepatutnya menyampaikan jumlah sokongannya kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, tetapi istana dalam satu kenyataan kemudian mengatakan bahawa ketua pembangkang tidak menyerahkan senarai nama kepada baginda.

Dilaporkan bahawa mesyuarat MT Umno petang Isnin lalu telah membincangkan idea untuk menyokong Anwar, tetapi kemudian memutuskan untuk kekal menyokong Muhyiddin dan PN serta menolak bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Seorang penganalisis politik lain, Azizuddin Mohd Sani tidak yakin akan ada usaha untuk menggagalkan belanjawan.



“Kerana PKR sendiri juga telah menyatakan bahawa ia akan menyokong belanjawan (kerajaan),” katanya.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bertitah agar semua ahli politik berhenti berpolitik semasa pandemik Covid-19, untuk memastikan kestabilan politik di negara ini.

Agong bertitah demikian ketika memaklumkan menolak memberi perkenan permohonan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.

Cadangan mengisytiharkan darurat digambarkan sebagai usaha memerangi Covid-19, namun pengkritik mendakwa ia merupakan taktik untuk Muhyiddin mempertahankan kedudukannya.



Agong bertitah bahawa tiada keperluan untuk darurat.

Keputusan Sultan Abdullah telah diambil maklum oleh parti-parti politik.

Titah baginda juga dilihat sebagai arahan untuk tidak menimbulkan masalah, terutama yang dapat mencetuskan pilihan raya umum yang dapat menimbulkan bencana kepada negara yang kini mempunyai hampir 10,000 kes Covid-19 aktif di seluruh negara.

Ini menyebabkan Anwar hari ini meminta kerajaan dan pembangkang mengambil pendekatan bipartisan dalam menyusun belanjawan sehingga menunjukkan kesediaannya untuk menyokong RUU itu dan bukannya menggunakannya sebagai alasan untuk undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Menyentuh mengenai sokongan Umno kepada Anwar, Azizuddin berkata ini akan menjadi contoh lain di mana Anwar gagal dalam usaha membentuk kerajaan.

“Melihat keadaan semasa, Anwar masih akan gagal menjadi perdana menteri jika tidak mendapat sokongan daripada Umno, yang sebelum ini dilihat cenderung menyokongnya.

“Anwar menaruh harapannya atas kegagalan kerjasama PN dengan Barisan Nasional, yang akan memberi peluang yang lebih baik kepada Pakatan Harapan untuk mengambil alih pemerintahan dan menjadikannya perdana menteri,” kata pensyarah Universiti Utara Malaysia itu.

Belanjawan 2021 amat penting kepada rakyat – Agong

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker