Malaysia kecam keras tindakan provokatif fitnah Islam · MYKMU.NET

Malaysia kecam keras tindakan provokatif fitnah Islam

Share

KUALA LUMPUR- Malaysia amat memandang serius dan mengambil berat permusuhan terbuka terhadap umat Islam sambil mengutuk keras tindakan retorik dan provokatif yang memfitnah agama Islam.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memetik beberapa tindakan ini sebagaimana yang dapat disaksikan dunia baru-baru ini menerusi ucapan populis serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad.

“Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia selagi mana ia digunakan secara bertanggungjawab dan penuh hormat, sekali gus tidak menafikan serta tidak melanggar hak pihak lain.

Hishammuddin berkata demikian susulan tindak balas dan kemarahan dunia Islam terhadap kenyataan terbuka Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai hak untuk menyiarkan karikatur Nabi Muhammad yang dianggap sebagai menghina Islam.

Masukkan Sabah dalam peta Filipina sangat provokatif

Kenyataan Macron minggu lalu dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas beliau menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.

Hishammuddin berkata sebagai negara Islam yang demokratik dan sederhana dengan masyarakat berbilang etnik serta agama, Malaysia akan terus memperjuangkan dan mengekalkan hubungan damai serta harmoni bukan sahaja sesama rakyat tetapi juga dalam konteks masyarakat global yang majmuk.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi meningkatkan amalan saling menghormati antara setiap agama serta mencegah ekstremisme agama di semua peringkat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia memboikot produk keluaran negara Perancis.

Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata ABIM melahirkan rasa kekecewaan atas kenyataan Macron “yang telah membuat dakwaan berunsur Islamofobia dengan berselindung di bawah kebebasan bersuara”.

“ABIM sebagai sebuah pertubuhan yang mempromosikan keharmonian beragama, mengecam pembunuhan kejam ke atas Samuel Paty dan dalam pada masa yang sama, mengkritik sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Presiden Perancis tersebut.

“Sesungguhnya, ABIM percaya bahawa sensitiviti keagamaan seharusnya dihormati di mana kepelbagaian agama seharusnya membawa kepada keharmonian dan perpaduan dan bukannya menimbulkan konflik sesama manusia,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama

Calon TPM, Mohamad Hasan, Ismail Sabri atau Hishammuddin?

Leave a Reply