Sedut lemak bukan rawat masalah obesiti – Pakar bedah

KUALA LUMPUR: Mengurangkan berat dengan menggunakan kaedah sedut lemak adalah satu mitos.

Ia lebih kepada prosedur memberi bentuk terutamanya pada bahagian perut, tepi badan, lengan dan tempat lain seperti di dagu, paha dan belakang.

Pakar Bedah Plastik, Rekonstruktif dan Estetik, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Zairizam Zakaria berkata, ia memastikan tiada pengumpulan lemak berlaku selepas individu berkenaan menjalani proses sedutan lemak dan boleh meneruskan amalan gaya hidup sihat seperti sebelumnya.

“Saranan kepada masyarakat di luar sana adalah memilih tempat yang sesuai serta memiliki standard keselamatan yang tinggi, iaitu mempunyai sokongan perubatan yang sesuai seperti ICU, pakar bedah serta pakar bius.

“Tidak sesuai dilakukan di bilik-bilik hotel atau tempat-tempat yang tidak mempunyai langsung sokongan perubatan. Pengamal perubatan juga tidak semua mempunyai lesen atau latihan prosedur sedutan lemak ini. Jadi, semak peramal perubatan di laman web National Specialist Register (NSR).

“Perlu ditekankan sekali lagi bahawa liposuction bukan suatu prosedur untuk mengurangkan berat badan tetapi untuk memberi shape kepada bahagian badan tertentu (body contouring),” katanya.

Dalam pada itu kata Dr Zairizam, prosedur sedut lemak menggunakan mesin yang mempunyai kuasa vakum menyedut lemak di bawah kulit untuk pembentukan badan.

“Secara asasnya, prosedur ini dilakukan dengan menggunakan mesin dan cannula (seperti tiub kecil) yang dimasukkan di bawah kulit.

“Risiko prosedur ini juga bergantung kepada berapa lemak yang disedut. Ada yang dipanggil massive liposuction iaitu melebihi satu liter lemak dan ada yang normal liposuction, iaitu lebih selamat iaitu tidak melebihi satu liter daripada lemak di badan kita,” jelasnya.

Selain pembentukan badan, Dr Zairizam menjelaskan, fungsi prosedur sedut lemak adalah untuk mengambil lemak di perut atau paha.

“Contohnya di mana pembesaran saiz payudara lelaki yang disebabkan oleh hormon atau ubat-ubatan. Tujuan lain pula adalah lemak itu disuntik untuk membesarkan bahagian payudara dan punggung.

“Kes lain adalah di mana pesakit dilahirkan dengan flat face berbanding dengan di bahagian sebelahnya. Kita boleh suntik lemak tersebut, yang diambil dari paha atau perutnya untuk bagi menyamaratakannya semula.

“Selain itu, kes-kes trauma atau kemalangan di mana menyebabkan sebahagian badan seperti muka atau anggota badan lain berlekuk. Lemak boleh disedut di bahagian lekukan itu bagi disamaratakan semula,” katanya.

Sementara itu ujarnya, pesakit boleh koma dan berdepan maut jika melakukan prosedur sedut lemak di pusat kecantikan yang tidak mempunyai sokongan perubatan lain.

“Komplikasi am adalah seperti jangkitan; jangkitan pada luka, pendarahan serta darah beku yang berkumpul di bawah kulit. Untuk komplikasi secara spesifik pula, adalah paling yang ditakuti iaitu ketul-ketul kecil lemak tadi masuk ke dalam saluran darah dan kemudian masuk ke dalam jantung atau paru-paru dan menyebabkan saluran-saluran darah tadi tersumbat disebabkan oleh lemak tadi dan boleh menyebabkan kematian.

“Selain itu, mengenai sedutan-sedutan lemak di bahagian perut dengan menggunakan cannula, dengan tusukan yang kuat, ia boleh menyebabkan tertembusnya kulit atau otot-otot di perut, di mana situasinya boleh membuatkan cannula tersebut menikam atau mencucuk organ dalaman seperti hati, usus dan sebagainya dan boleh menyebabkan salah satu punca kematian.

“Selain itu, kehilangan air yang banyak atau darah yang banyak. Situasi ini membuatkan tekanan darah pesakit itu turun dan boleh membawa kematian. Situasi ini selalunya berlaku apabila terdapat banyak sedutan lemak dilakukan di banyak bahagian dalam satu masa seperti di perut, lengan, peha. Kadangkala berlaku juga apabila prosedur sedut lemak turut dilakukan bersama prosedur lain seperti tummy tuck, breast reduction atau pun breast implant,” ujarnya.

Katanya, komplikasi itu menyebakan pesakit kehilangan banyak darah selain tekanan darah menurun jika tidak digantikan dengan betul-Awani

Hanya pakar layak lakukan sedut lemak

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker