Kedutaan Perancis tolak memorandum Pemuda UMNO selar Macron
Kedutaan Perancis hari ini menolak memorandum yang dikemukakan Pergerakan Pemuda UMNO yang mendesak Presiden Emmanuel Macron meminta maaf kepada Malaysia dan menarik balik kenyataan berbentuk provokasi dan tomahan terhadap Islam.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham yang tiba di Kedutaan Perancis pada jam 2.30 petang pada mulanya mengesahkan bahawa pihak kedutaan tersebut bersedia menerima memorandum yang akan diserahkannya itu.
“Kami sudah hubungi kedutaan pada pukul 12 tengah hari tadi dan mereka kata akan terima. Tapi kami diberitahu mereka tidak mahu terima. Mereka hanya katakan mereka maklum bantahan yang dibuat tetapi enggan menerima memorandum,” katanya kepada pemberita.
Pada 16 Oktober lalu, dunia dikejutkan dengan tragedi berdarah di pinggir kota Paris apabila seorang guru subjek sejarah di sebuah sekolah di Perancis, Samuel Paty dibunuh dengan kepalanya dipenggal.
Pembunuhan itu dilakukan oleh seorang pelajar Muslim sebagai tindak balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap baginda kepada para pelajar.
Lebih mengecewakan, Macron mempertahankan tindakan guru
tersebut dan memberikan anugerah khas Légion d’honneur dalam satu majlis yang diadakan di Universiti Sorbonne pada 21 Oktober lalu.
Menurut Ikmal, memorandum bantahan itu merupakan desakan agar Macan sedar bahawa ucapan yang disampaikannya sebelum ini telah menyentuh sensitiviti selain mengundang kemarahan umat Islam di Malaysia.
Berdasarkan hubungan dua hala yang baik terjalin di antara Malaysia dengan Perancis , Ikmal berkata, Presiden negara itu perlu memohon maaf dengan segera.
Katanya, Macan sepatutnya menjaga hubungan dua hala dengan mengamalkan prinsip menghormati perbezaan budaya dan agama yang diamalkan Malaysia sebagai negara Islam.
“Kita berharap kerajaan Perancis mengambil serius terhadap kenyataan ini. Kita daripada Biro Antarabangsa menghormati hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis dan kita mahu teruskan hubungan ini tapi mereka perlulah menghormati kita sebagai negara Islam.
“Sebagai kaum Melayu kami merasakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan kami mengutuk sekerasnya kenyataan Emmanuel. Kenyataannya ini satu penghinaan besar,” ujarnya.
Walaupun memorandum itu ditolak, Ikmal berkata, Pemuda UMNO tidak akan berputus asa untuk terus memberi tekanan secara konsisten kepda kerajaan berkenaan untuk memberi maklum balas berkaitan isu yang jelas sensitif untuk umat Islam di Malaysia. MG
Tubuh parti orang muda usaha sia-sia, kata penganalisis politik
You must be logged in to post a comment.