67 rakaman, 61 akaun palsu
Seorang wanita di United Kingdom berdepan pengalaman ngeri apabila menerima kiriman rakaman video memaparkan aktivitinya ketika berada di dalam rumah.
Ia selepas seorang lelaki George Coughlan, 33, menggodam kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mangsa.
Lebih malang, apabila kiriman itu turut disertakan dengan kata-kata kesat yang dipercayai bertujuan cuba menakut-nakutkan mangsa.
Tidak cukup itu, Coughlan juga membuat 61 akaun palsu media sosial untuk mengganggu dan mengancam wanita itu.
Perbuatan Coughlan akhirnya mendapat pembalasan apabila dia ditahan dan didakwa sebelum dijatuhi hukuman penjara 21 bulan oleh Mahkamah Wolverhampton di UK.
Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh supaya tidak mendekati atau menghubungi wanita itu untuk tempoh lima tahun.
Dalam pada itu, media tempatan melaporkan pasukan polis yang menyiasat kes itu merampas 67 rakaman CCTV daripada lelaki itu.
Antaranya, ia menunjukkan wanita itu sedang berehat-rehat di rumahnya.
Selain itu, siasatan mendapati Coughlan membuat pelbagai carian di internet mengenai kaedah untuk menggodam storan awan iCloud.
Carian lain termasuk perisian intip (spyware) bagi menggodam SMS, panggilan, aplikasi sosial dan GPS.
Unit Perlindungan Awam Polis West Midlands, Inspektor Cate Webb-Jones berkata, pengintipan adalah satu jenayah yang serius kerana menceroboh hak privasi seseorang.
“Coughlan sedaya upaya cuba mengawal dan mengganggu kehidupan mangsanya.
“Itu menyebabkan mangsa, dari hari ke hari, hidup dalam ketakutan. Ia tidak boleh diterima.
“Kami berharap mangsa dapat meneruskan hidupnya selepas kejadian yang begitu mendatangkan trauma ini,” katanya.
Audio mirip Muhyiddin: SPRM tunggu arahan peguam negara
You must be logged in to post a comment.