Mesyuarat khas Kabinet: Menteri sepakat kunci mulut
PUTRAJAYA – Kesemua menteri bersepakat untuk tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung agenda mesyuarat khas Kabinet yang berlangsung selama lebih dua jam tadi.
Ketika didekati media melalui pintu keluar bangunan Perdana Putra, kenderaan yang membawa menteri hanya terus berlalu.
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya sekadar menurunkan cermin kenderaannya dan tersenyum.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.
“Nak pergilah ni. Dah lambat. (Mesyuarat) dah mula,” katanya.
Terdahulu, mesyuarat khas Kabinet bermula kira-kira jam 11.30 dan berakhir jam 2 petang.
Sebelum itu, Muhyiddin meluangkan masa mengadakan pertemuan selama dua jam dengan presiden parti gabungan Perikatan Nasional (PN) Yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.
You must be logged in to post a comment.