Patuhi SOP PKPB semasa berada di kawasan Istana Negara – Polis
KUALA LUMPUR, 25 Okt — Semua petugas media dan agensi berkaitan yang akan bertugas dan berada di sekitar kawasan Istana Negara hari ini diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Ketua Polis Daerah Brickfield ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata aplikasi pendaftaran MySejahtera akan digunakan dan semua pihak wajib memakai pelitup muka, membuat pemeriksaan suhu badan dan mendaftar kehadiran di kaunter yang disediakan.
“Petugas media akan dibenarkan untuk memasuki kawasan khas yang disediakan dengan petak khas penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Peraturan itu berikutan satu mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja dijadual akan diadakan di Istana Negara, bermula 2.30 petang, hari ini.
Zairulnizam menegaskan petugas media tidak dibenarkan untuk bergerak dan berada di atas jalan raya bagi mengelakkan gangguan lalu lintas.
Polis turut menasihatkan orang awam yang tidak mempunyai sebarang urusan agar tidak berada di kawasan luar pintu Istana Negara bagi mengelakkan kesesakan.
Sementara, sebarang tindakan provokasi oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkaitan, katanya.
“Semua pihak juga diingatkan agar terus patuh SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran majlis dan mengelakkan penularan kes COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini,” katanya.-BERNAMA
Krisis Dengan Istana: Apa Pendirian Anwar Sebenarnya?
You must be logged in to post a comment.