Polis kutip cebisan daging mangsa nahas
ALOR GAJAH: Anggota polis terpaksa mengutip cebisan daging mayat pengawal keselamatan yang terbunuh selepas digilis treler di Jalan Bukit Balai, Durian Tunggal, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, cebisan daging mayat P Kali Amma, 31, bertaburan beberapa meter selepas tubuhnya digilis treler dan terpaksa dikutip anggota polis sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah, di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata ketika kejadian, mangsa yang tinggal di Kampung Baru, Bukit Balai menunggang motosikal Honda Cub, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Gangsa, Batu Berendam.
Treler dipandu lelaki berusia 44 tahun yang beralamat di Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, Johor dalam perjalanan dari Gangsa ke Durian Tunggal, katanya.
“Ketika melalui selekoh, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terjatuh di laluan bertentangan dan pada masa yang sama treler berkenaan melalui jalan itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu treler mencuba memberhentikan kenderaan tetapi gagal lalu terlanggar tubuh mangsa.
Berikutan itu, cebisan daging mayat mangsa bertaburan beberapa meter dan terpaksa dikutip satu persatu beberapa anggota polis.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987-BH