Lebih gentleman Muhyiddin letak jawatan dulu, kata Isham Jalil

BN Selangor berkata jika cadangan kerajaan untuk melaksanakan darurat tidak diterima Yang di-Pertuan Agong, “afdal” untuk Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatannya sebagai perdana menteri.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil, berkata langkah itu dapat menjimatkan masa dan lebih mudah buat rakyat dan negara.

Kemudian, katanya, bolehlah Agong membuat keputusan mengenai langkah lanjut yang wajar diambil untuk negara ini.

“Untuk mengelakkan jalan yang panjang dan memakan masa tetapi dengan pengakhiran yang sama (darurat), adalah lebih afdal untuk rakyat dan negara jika Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri terlebih dahulu dan menyerahkannya kembali kepada budi bicara dan kebijaksanaan untuk menentukan sepenuhnya sama ada untuk melantik perdana menteri baru, membubarkan parlimen atau mengisytiharkan darurat.

“Langkah ini adalah lebih sopan dan gentleman iaitu dengan memberi ruang sepenuhnya kepada Agong untuk membuat keputusan tanpa kekangan atau paksaan (jika ada),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pelbagai parti politik, kumpulan sivil dan orang ramai turut menyatakan rasa tidak setuju dengan cadangan kerajaan melaksanakan darurat.

Walaupun kerajaan menyatakan langkah itu perlu untuk mengekang penularan wabak Covid-19 kebanyakan orang melihat ia lebih kepada usaha Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) mahu mengekalkan kuasa.

Tiada pilihan lain lagi

Terdahulu, Amanah juga menasihatkan Muhyiddin supaya mengambil tindakan yang lebih bermaruah dan wajar – iaitu berundur – daripada mengisytihar perintah darurat.

Semalam, kabinet dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Muhyiddin dilaporkan setuju dengan pelaksanaan “darurat” atas dasar menangani penularan Covid-19.

Langkah itu diambil susulan ketidaktentuan berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin berdepan desakan daripada luar dan dalam parti.

Isham yang juga bekas pegawai Najib Razak itu memberikan pendapatnya tentang sebab Agong memilih untuk memperhalusi cadangan darurat PN dan teryus memberikan perkenan.

Menurutnya, tidak masuk akal apabila kawasan yang bebas daripada Covid-19 atau negeri yang tidak kritikal turut terheret dalam perintah darurat.

“Ini terutamanya jika negeri-negeri ini adalah berjauhan dan perintah larangan merentas sempadan boleh dikenakan semula tanpa perlu darurat,” katanya.


Menurut Isham lagi sekiranya Agong tidak memberikan perkenan kepada cadangan darurat Muhyiddin, perlembagaan dan parlimen tidak akan digantung.

Dalam keadaan itu, katanya, sidang parlimen – yang sepatutnya dijadualkan pada 2 Nov ini dan diikuti dengan pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov akan diteruskan.

Walaupun terdapat permohonan mengemukakan usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin, kata Isham, kemungkinan besar ia tidak akan dibentang atau diundi.

Namun katanya pada sidang parlimen bulan ini juga akan ada pembentangan Belanjawan 2021 yang memerlukan undian ahli-ahli parlimen untuk diluluskan.

Sekiranya kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti dalam dewan untuk usul tersebut, kata Isham, jelas ia menunjukkan kerajaan dan Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti.

“Apabila ini berlaku maka Muhyiddin tidak ada pilihan lain kecuali meletakkan jawatan atau menasihati Agong untuk membubarkan parlimen.

“Dengan pembubaran itu Agong boleh melantik perdana menteri sementara yang lain. Baginda juga boleh melantik kembali Muhyiddin jika baginda berkenan.

“Sekiranya wabak Covid-19 masih belum reda, maka tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya umum seperti termaktub dalam perlembagaan boleh dilanjutkan dengan pengisytiharan darurat.

“Dalam tempoh darurat ini kuasa di tangan perdana menteri sementara yang baru, yang memegang kuasa yang diwakili secara statut atau prerogatif daripada Agong semasa tempoh darurat sehingga pilihan raya diadakan,” katanya. Mk

Langkah gantung Parlimen rencat terma hitam putih Umno kepada Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker