Rugi RM5 juta, kedai terbakar
Kota Kinabalu: Kedai perabot dan elektrik dua tingkat di Jalan Lintas Kepayan, di sini, musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian hampir RM5 juta, awal pagi tadi.
Dalam kejadian 6 pagi, bangunan dua tingkat itu musnah terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kedai berkenaan tidak beroperasi.
Pengurus kedai perabot dikenali sebagai Chong, 50-an, berkata dia menyedari kejadian itu selepas menerima panggilan daripada salah seorang pekerjanya.
“Sebaik tiba, sebahagian kedai berkenaan terbakar dan saya tidak mengetahui punca kebakaran.
“Kedai ini menjual perabot dan barang elektrik dan kerugian dianggarkan bernilai hampir RM5 juta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.23 pagi dan seramai 41 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kebakaran.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, api sedang marak di kedai yang menempatkan barangan perabot.
“Api dikawal pada 7.20 pagi dan kebakaran memusnahkan keseluruhan bangunan berkenaan.
“Manakala pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kedai tayar dan sebuah rumah,” katanya.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. HM
You must be logged in to post a comment.