Kematian Pablo Escobar Langkawi: Din Napoh ditahan
Orang kanan Mohd Nahar Suhaimi, 39, atau Pablo Escobar Langkawi yang menyembunyikan diri sebaik pendedahan akhbar ini berkaitan kegiatan ‘bos’ mereka sudah ditahan polis semalam.
Suspek dipercayai ditahan itu adalah Nordin Ahmad, 40, atau Din Napoh dengan alamat terakhir di No 20, Kampung Baru Ulu Melaka, Mukim Ulu Melaka, Langkawi.
Dia difahamkan bersembunyi di rumah rakannya beberapa bulan selepas pendedahan akhbar ini bagi mengelak ditahan sebelum polis yang mengesannya berjaya menahan lelaki itu di pekan Kuah, Langkawi petang semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil maklumat orang awam dan risikan polis kemudian berjaya mengesan salah seorang suspek yang diburu dan menahannya semalam di sekitar Pekan Kuah, Langkawi.
Menurutnya, sementara dua lagi suspek masih diburu bagi membantu siasatan membabitkan kes pembunuhan.
“Buat masa ini kita tidak boleh mendedahkan identiti suspek yang ditahan tetapi cukup untuk maklumkan polis sudah menahan salah seorang daripada mereka.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan dia akan direman bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini, hari ini.
Hasanuddin berkata, suspek dipercayai bersembunyi di rumah rakannya sejak beberapa bulan lalu bagi mengelak ditahan polis.
“Kita juga meminta dua lagi suspek menyerah diri secara baik bagi membantu siasatan,” katanya,
Harian Metro Selasa lalu melaporkan tiga ‘orang kanan’ Mohd Nahar Suhaimi, 39, atau Pablo Escobar Langkawi yang dipercayai sedang menyembunyikan diri sebaik pendedahan akhbar ini berkaitan kegiatan ‘bos’ mereka kini sedang dikesan polis.
Semua mereka yang juga tokan dikehendaki bagi membantu siasatan kematian Mohd Nahar bersama isteri dan anaknya dalam kebakaran rumahnya di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa di Langkawi pada 1 April 2019.
Sebelum ini, kejadian itu dikategorikan sebagai mati mengejut sebelum siasatan lanjut baru-baru ini mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes bunuh.
Malah, pegawai penyiasat kes berkenaan juga akan diambil tindakan tata tertib berikutan kecuaian menyiasat kebakaran itu.
Mereka yang diburu ialah Zuhaimi Saad, 41, atau dikenali sebagai Bagok berasal dari Langkawi dengan alamat terakhir No 240, Kampung Kelibang, Mukim Kuah, Langkawi.
Suspek kedua yang dicari adalah Nordin Ahmad, 40, atau Din Napoh dengan alamat terakhir di No 20, Kampung Baru Ulu Melaka, Mukim Ulu Melaka, Langkawi.
Suspek lain ialah Ahmad Shahrul Nizam Long, 35, atau Mapley beralamat terakhir di Kampung Bukit Tangga, Mukim Padang Matsirat, Langkawi.
Harian Metro pada 4 September lalu melaporkan kematian Pablo Escobar Langkawi dalam kebakaran rumahnya sebagai misteri kerana dipercayai kemungkinan terdapat unsur jenayah.
Laporan itu mendedahkan siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menemui sisa petrol dalam rumah berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan kebakaran disebabkan litar pintas.
Untuk rekod, kebakaran terbabit mengorbankan suami isteri, Mohd Nahar Suhami, 39, dan Nor Suhaila Ahmad, 41, serta anak lelaki mereka, Mohd Naufal, 6. HM
Sivagangga : Penduduk, peniaga Napoh saman tauke nasi kandar RM 1 Juta