Putrajaya perlu sediakan pelan tindakan tangani kemelut 2.4 juta rakyat bakal hilang kerja

Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan segera menyediakan Pelan Tindakan Khas (Blueprint) untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelan tindakan khas itu juga perlu mencakupi usaha membantu lebih 1.26 juta rakyat yang dijangka mengalami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Pemuda UMNO turut menyarankan agar kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga bulan lagi.

Menurut Asyraf, kerajaan juga patut mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta.

Katanya, bantuan seumpama itu jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap.

Saranan-saranan tersebut, menurut Asyraf telah dibincang dan diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang bermesyuarat secara dalam talian pada malam tadi.

Mesyuarat juga, katanya, memutuskan menyokong gencatan politik (political ceasefire) sebagaimana yang disarankan Presiden UMNO, sekaligus dihentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran pandemik Covid-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda.

Pemuda UMNO turut menolak sebarang kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun parti-parti dalam Pakatan Harapan terutamanya DAP untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, hanya bertujuan memenuhi hasrat beliau menjadi Perdana Menteri.

Asyraf berkata, Pemuda UMNO juga akan menggerakkan jenteranya di seluruh 191 Bahagian sebagai pemudahcara antara rakyat dengan agensi-agensi kerajaan bagi membantu mereka khususnya anak-anak muda yang sedang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dan sosial. MG

Parlimen bubar Disember ini, kini dalam pertimbangan Muhyiddin

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker