Pengawal keselamatan maut diseret treler
Alor Setar: Seorang pengawal keselamatan tidak sempat menghantar barangan makanan ke rumahnya selepas terlibat dalam kemalangan di Batu 5 Langgar, di sini petang tadi.
Mangsa, Za’aba Mohd Abib berusia 50 tahun maut akibat dilanggar dan diseret sebuah treler di persimpangan lampu isyarat di lokasi terbabit.
Dalam kejadian jam 3 petang Rabu itu, mangsa dikatakan menunggang motosikal bersendirian dan cuba membelok ke kanan jalan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat tersebut.
Bagaimanapun, mangsa telah dirempuh treler berkenaan yang datang dari arah belakang mengakibatkan mangsa jatuh dan terseret.
Menurut saudara mangsa, Budiman Abas, 30, dia ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah apabila terlihat kemalangan itu berlaku.
Namun, sebaik turun dari motosikal dan cuba membantu mangsa, Budiman terkejut melihat tubuh yang terbaring di atas jalan itu adalah saudaranya.
Ketika itu mangsa sudah tidak bernafas selepas kepalanya pecah dan otaknya bertaburan atas jalan.
Kemudiannya Budiman terus menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai berada di lorong kiri dan hendak membelok ke kanan.
Pada masa sama, sebuah lori dari arah sama bergerak di jalan lurus dan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), untuk bedah siasat.
Kes disiasat di mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Awani
You must be logged in to post a comment.