Duta Canon EOS tinggalkan profesion jurutera
SEJAK di bangku sekolah rendah, Mohd. Safuan Salahudin, 35, sudah meminati bidang fotografi dengan merakam gambar menggunakan kamera milik datuknya.
Pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi sangat bertepatan untuk menggambarkan minat Mohd. Safuan yang diwarisi daripada bapa dan datuknya.
Sering melihat kedua-dua mereka merakam gambar kenangan ahli keluarga membuatkan Mohd. Safuan makin tertarik untuk mencubanya.
Jika kanak-kanak lain bermain alat permainan, berbeza dengan Mohd. Safuan yang lebih gemar merakam gambar.
“Ketika usia 12 tahun saya sudah memiliki kamera sendiri hasil duit pemberian ibu sebagai hadiah kerana meraih semua A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Sejak itu saya aktif merakam gambar aktiviti rakan-rakan di sekolah dan menjualnya kepada mereka,” cerita pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu.
Oleh itu, tidak hairanlah kini hasil bidikannya berjaya mencipta pelbagai kejayaan dalam pertandingan seni fotografi dan kepakaran Mohd. Safuan mendapat permintaan tinggi dari pelbagai agensi.
Mohd. Safuan berjaya merangkul juara dalam kejohanan Canon Photo Marathon Malaysia selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2016 hingga 2018.
Kejayaan itu telah membuka ruang kepadanya bagi mewakili Malaysia untuk berentap di Kejohanan Canon Photo Marathon Asia 2019 di Shizouka, Jepun dan turut menjadi juara.
Di kejohanan itu dia bertarung dengan 16 jurugambar dari 14 negara seperti Filipina, Indonesia, India, Hong Kong dan Singapura.
Pada tahun sama dia juga bergelar juara di Kejohanan Canon Photo Marathon Singapura.
Kemenangan berganda yang dirangkul oleh bekas jurutera itu melayakkannya dilantik sebagai Duta Canon EOS (Electro-Optical System) pada awal tahun ini.
Selain itu, pemuda tersebut juga aktif merakam gambar dalam pelbagai acara termasuklah perkahwinan serta ditempah khas sebagai jurugambar percutian keluarga.
Dia juga diundang untuk berkongsi ilmu dalam bidang fotografi di sekolah, institusi pengajian tinggi, badan korporat, swasta mahupun kerajaan.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bergelar sebagai jurugambar sepenuh masa kerana sebelum ini dilakukan pada masa lapang di samping kerja hakiki sebagai jurutera.
“Namun, setelah lima tahun bertugas sebagai jurutera, saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada pekerjaan tersebut dan menjadi jurugambar sepenuh masa pada tahun 2013,” katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah kepada K2.
Terang bekas jurutera itu, dia mengambil keputusan tersebut kerana bidang fotografi memberinya kepuasan bekerja, dapat berjumpa dengan ramai orang tidak mengira pangkat, kaum dan darah keturunan serta paling penting gemar merakam momen istimewa menerusi lensa kamera.
Pada awalnya, keluarga tidak bersetuju dengan keputusan Mohd. Safuan kerana mengharapkan dia mempunyai kerja tetap dan terus bekerja sebagai jurutera, namun selepas melihat kejayaan serta kesungguhan pemuda itu dalam bidang fotografi akhirnya mereka akur memberi restu.
Benarlah peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang kerana di sebalik kejayaannya itu tersimpan kenangan pahit sehingga hampir menghentikan langkah lelaki itu.
“Ketika peringkat awal memulakan kerjaya sebagai jurugambar sepenuh masa, saya kehilangan tiga set kamera dalam tempoh enam bulan dengan kerugian lebih RM30,000.
“Kawan-kawan banyak memberi sokongan dan meminjamkan kamera untuk saya gunakan bagi menjalankan kerja-kerja merakam gambar perkahwinan,” cerita anak sulung daripada empat beradik itu.
Pada tahun 2015, dia membeli kamera dan mula bergiat aktif menyertai pertandingan seni fotografi.
Bayaran lumayan
Berkat kesabaran dan tidak mengenal putus asa membolehkan Mohd. Safuan menjuarai kejohanan Canon Photo Marathon di dalam dan luar negara lalu berjaya memperoleh enam set kamera hasil kemenangan dalam pertandingan-pertandingan tersebut.
“Menjadi seorang jurugambar memerlukan kesabaran yang tinggi dan hendaklah mempunyai pengetahuan luas mengenai kamera.
“Contohnya, merakam gambar perkahwinan memerlukan pelbagai teknik seperti memberi fokus yang lebih terperinci kepada sesuatu subjek, misalnya cincin yang menampakkan ukiran nama pasangan pengantin itu,” tuturnya yang sudah satu dekad berkecimpung dalam bidang fotografi.
Ulasnya lagi, bidang fotografi kini boleh dianggap seperti cendawan tumbuh selepas hujan kerana dewasa ini sesiapa sahaja boleh menjadi jurugambar asalkan memiliki kamera.
Namun, tanpa kesabaran yang tinggi, ramai tersungkur di pertengahan jalan kerana tidak mampu menempuh cabaran dalam kerjaya itu.
Salah satu cabarannya ialah perkhidmatan jurufoto yang tidak mempunyai harga siling.
Sehubungan itu, ia memerlukan kebijaksanaan jurugambar itu sendiri untuk berunding harga dengan pelanggan serta memberikan tawaran perkhidmatan terbaik mereka.
“Jurugambar perlu sentiasa mengikut trend semasa dan menggunakan perkakasan terbaik termasuklah menguasai ilmu teknologi fotografi terkini.
“Kita juga perlu meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina hubungan baik dengan pelanggan,” ujarnya.
Mohd. Safuan memberitahu, kesan komunikasi yang baik itu, membolehkannya dilantik menjadi jurugambar perkahwinan bagi keluarga salah seorang pelanggannya dari perkahwinan anak sulung hingga anak bongsu mereka.
Akuinya, kerjaya jurugambar mempunyai masa hadapan yang cerah sama seperti pekerjaan lain dan berpotensi menerima bayaran lumayan.
“Kerjaya sebagai jurugambar ini luas dan tidak terhad kepada projek perkahwinan sahaja tetapi kita perlu berfikir jauh serta pandai mencari peluang.
“Bayangkan untuk gambar graduasi tadika sahaja boleh mencecah pendapatan RM100,000 hingga RM200,000 setahun sekiranya dilakukan dengan serius,” tuturnya yang pernah dilantik sebagai jurufoto rasmi Kerajaan Negeri Kedah untuk merakam gambar keberangkatan pulang Almarhum Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah ke negeri itu setelah tamat perkhidmatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Mengulas mengenai kerjaya jurugambar ketika gelombang Covid-19, Mohd. Safuan mengakui projek perkahwinan agak perlahan tetapi rakaman gambar untuk pelbagai bidang lain seperti promosi makanan dan produk masih terbuka luas.
Sehubungan itu, Mohd. Safuan kini menerima banyak permintaan untuk rakaman gambar mempromosi makanan dan produk.
Dia juga sedang menyiapkan tugasan yang diamanahkan Agro Tourisme Malaysia bagi merakam gambar gua-gua di seluruh Malaysia untuk mempromosi produk pelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan.
Pada masa depan, Mohd. Safuan berhasrat untuk memiliki akademi fotografi sebagai tempat berkongsi ilmu dalam bidang tersebut dengan generasi muda.-Kosmo
You must be logged in to post a comment.