Sokongan berkurang bermakna Dr M tak dapat ‘majoriti’, kata penganalisis

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik tidak percaya Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri buat kali ke-3.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Mahathir bakal berdepan kesukaran untuk melakukannya kerana kemungkinan untuk bekerjasama dengan kerajaan sedia ada atau pembangang semakin berkurang hari demi hari.

Parti baru Pejuang, dengan beliau sebagai pengerusi penaja, mencalonkannya sebagai perdana menteri sekali lagi dengan berkata, beliau diperlukan untuk mengetuai sebuah kerajaan sementara sehingga pilihan raya akan datang bagi membolehkan “negara diselamatkan”.



Awang Azman bagaimanapun berkata, ahli Parlimen yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Mahathir, termasuk bekas ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekalipun, telah mula menjauhkan diri dari pemimpin veteran itu.

 

 

“Jadi, buat masa ini, saya tak nampak Mahathir ada sokongan untuk jadi perdana menteri untuk kali ke-3,” kata Awang Azman kepada FMT.



“Sekurang-kurangnya ada 2 parti besar, Umno dan PKR, yang tak akan setuju (dengan Mahathir menjadi perdana menteri). Umno tekanan apabila Mahathir menjadi perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan. Ramai ahlinya meninggalkan parti untuk menyertai PPBM.

“PKR pasti mahu presidennya, Anwar menjadi perdana menteri, bukan Mahathir,” katanya.

 

 



Awal minggu ini, Anwar berkata beliau memberitahu Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau mendapat sokongan yang meyakinkan daripada majoriti ahli Parlimen, yang membolehkan beliau menubuhkan kerajaan baru.

‘Agak mustahil Dr M jatuhkan Muhyiddin’

Seorang lagi penganalisis politik, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Mahathir berusaha mencapai perkara yang “agak mustahil” dengan menjatuhkan Muhyiddin dan juga menghalang Anwar memegang jawatan tertinggi itu.

Beliau percaya cakap-cakap mengatakan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, juga berusaha merebut jawatan perdana menteri mungkin hanya muslihat, walaupun tidak mustahil anak raja dari Kelantan itu dijadikan timbalan Mahathir.



“Saya tak dapat nak pastikan sekiranya Mahathir ada sokongan, tetapi mereka semua mencuba. Anwar sedang mencuba, Muhyiddin berusaha bertahan, nampaknya Ku Li (Razaleigh) sedang bekerjasama dengan Mahathir. Ia sangat bergantung pada jenis tawaran yang boleh mereka berikan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, gabungan Mahathir-Ku Li mungkin hanya terbuka kepada ahli Parlimen Umno yang “disukai” Mahathir atau tidak dianggap “tercemar”.

Awang Azman berkata, Pejuang hanya mengambil kesempatan atas krisis politik yang sedang berlaku dengan menamakan Mahathir sebagai calonnya untuk jawatan tertinggi itu.

Beliau berkata, gambar Ku Li dengan Mahathir digunakan untuk memberi persepsi kemungkinan wujudnya kerjasama tertentu antara 2 pemimpin veteran itu, walaupun belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan.



Katanya, sikap Mahathir menjadikan kerjasama dengan parti lain sukar, selain menambah bahawa hampir mustahil beliau akan bekerjasama dengan Muhyiddin selepas banyak kritikan dilontarkan terhadap perdana menteri itu.

Awal minggu lalu, Mahathir mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin selepas percubaannya pada Mei tidak berjaya kerana kekurangan masa di Dewan Rakyat.

Usul sama dikemukakan sekali lagi kepada speaker.-FMT

Kem Anwar, Mahathir dalam Umno rosakkan parti, kata penganalisis



twitter sharing button

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker